Argentina mempamer persembahan terbaik mereka dalam Copa America setakat ini apabila membelasah Paraguay 6-1 semalam untuk menempah perlawanan akhir klasik menentang tuan rumah Chile pada Ahad ini.
Angel di Maria meledak dua gol, manakala Marcos Rojo, Javier Pastore, Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain turut mencipta jaringan. Lionel Messi pula menjadi watak utama dalam mencipta gerakan untul gol-gol yang diperoleh pasukannya.
Messi, 28, membuktikan kehebatannya apabila menumpaskan tiga pertahanan lawan dan menggelecek bola di bawah kaki salah seorang daripadanya sebelum melakukan larian pantas ketika membantu Di Maria menjaringkan gol keempat perlawanan.
“Kami tahu gol itu akan hadir. Kami beraksi dengan baik, mencipta peluang dan hari ini kami berjaya menghasilkan jaringan,” kata Messi.
“Kami perlu komited untuk mengekalkan corak permainan seperti ini. Pasukan mempamerkan ketepatan dan efisien ketika mengasak gawang lawan,” kata jurulatih Argentina, Gerardo Martino.
Gol saguhati Paraguay dihasilkan oleh penyerang, Lucas Barrios yang dilihat berusaha keras untuk melayakkan diri ke final Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas tewas kepada Uruguay empat tahun lalu.
Tuan rumah, Chile yang memburu kejuaraan Copa America buat kali pertama kini menjadi penghalang terakhir skuad La Albiceleste yang turun dengan misi menamatkan penantian 22 tahun tanpa gelaran utama.
Berdasarkan rekod ketika beraksi di Chile pada 1991, Argentina dilihat memiliki rekod bersih apabila berjaya menjulang trofi kemenangan pada waktu itu selepas menumpaskan Brazil dalam perlawanan akhir.
Dalam perlawanan separuh akhir semalam, Argentina lebih mendominasi permainan, malah turut menguasai bola serta mencipta banyak peluang sejak sepak mula. Gawang La Albiceleste cemas hanya beberapa minit sebelum babak pertama tamat dan sebaik sahaja bermula separuh masa kedua mereka terus bernafsu merobek gol lawan.
“Satu jumlah jaringan yang besar, namun rakyat Paraguay berbangga dengan pasukan ini selepas mereka memperlihatkan peningkatan dalam corak permainan.
“Saya sangat bangga dengan mereka. Pemain saya rajin dan bekerja keras untuk memperbaiki kesilapan. Mereka berjaya muncul empat pasukan terakhir dalam kejohanan ini. Kami menentang pasukan terbaik di dunia. Mereka melebihi kami dalam segala aspek.,” kata jurulatih Paraguay, Ramon Diaz yang mengambil alih pasukan pada Disember lalu.
Paraguay kehilangan dua tonggak utama akibat cedera pada babak pertama iaitu pemain perancang, Derlis Gonzalez pada minit ke-26 dan penyerang veteran, Santa Cruz empat minit kemudian. Gonzalez menjadi watak penting ketika menumpaskan Brazil dalam aksi suku selepas menjaringkan gol penyamaan serta menyempurnakan sepakan penalti. – REUTERS
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit