Friday, June 26, 2015

Khairy Jamaluddin- Sistem FAM sekarang hanya untuk jaguh kampung


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin bimbang standard Liga Malaysia akan membantutkan pembangunan pemain berbakat yang dilahirkan oleh Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN).
Khairy Jamaluddin

Menurut Khairy, beliau bimbang sistem Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) gagal mencungkil potensi sebenar produk PPBN.

Justeru, beliau melihat menghantar pemain-pemain beraksi dalam liga bola sepak di luar negara antara pendekatan terbaik yang boleh menjamin kesinambungan karier mereka.

“Pemain PPBN berbeza dengan pemain tempatan yang ada sekarang. Mereka ini mempunyai daya tahan yang tinggi. Apabila pergi ke luar negara mereka bukan se­perti beberapa pemain tempatan kini yang dua tiga bulan ke luar negara kemudian sudah balik.

“Sistem FAM sedia ada pemain­nya ‘jaguh kampung’ tetapi PPBN kita nak wujudkan pemain yang lebih baik daripada sekarang.

“Harapan saya, pemain PPBN bukan untuk masuk Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan dan Selangor, tetapi mereka mesti main dengan kelab di luar negara,” katanya selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Persekutuan Malaysia (FMSDC) di sini semalam.

Kata Khairy, beliau telah berbincang dengan Pengarah Projek PPBN, Lim Teong Kim untuk cuba menempatkan pemain-pemain yang melepasi usia 17 tahun untuk beraksi dalam liga di Eropah, Korea Selatan atau Jepun.

Beliau menambah, fokus PPBN amat berbeza dengan sistem FAM terutama dalam aspek latihan, pemain PPBN tidak manja malah mereka tidak dilatih untuk duduk dalam keadaan zon selesa maka semangat dan jiwa pemain lebih kuat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Khairy menegaskan, beliau tidak bersetuju pengadil perlawanan bola sepak Liga Malaysia diletakkan di bawah sebuah badan bebas.

Jika isu pengadilan berat sebelah menjadi alasan untuk diwujudkan badan bebas itu, ia tidak perlu kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai peraturan dan undang-undang sendiri dalam mengambil tindakan terhadap pengadil yang terlibat.

“Sewaktu saya menjadi Timbalan Presiden FAM, tidak pernah ada arahan daripada sesiapa yang mahu pengadil bertindak berat sebelah kepada mana-mana pasukan, malah FAM tegas dalam soal itu. Jika ada pengadil membuat keputusan yang salah, FAM pasti mengenakan tindakan terhadap mereka,” katanya.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget