Tuesday, June 9, 2015

Zamri akan dibawa pulang jika stabil

Zamri akan dibawa pulang jika stabil

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memberi jaminan kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk membawa pulang pelumba SuperSports 600cc negara, Muhammad Zamri Baba ke tanah air secepat mungkin jika keadaannya sudah stabil.
Zamri Baba

Beliau berkata, buat masa ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang mencari jalan terbaik untuk memindahkan Zamri ke sebuah hospital pakar di Jakarta, Indonesia sekiranya mendapat kebenaran daripada Hospital Petra Permata Sentul yang kini merawat pelumba berusia 34 tahun itu.

“Zamri masih dirawat di hospital di Indonesia. Kami sedang cuba untuk membawa pulang beliau ke tanah air atau dipindahkan ke hospital pakar di Jakarta.

“Sekiranya keadaan beliau sudah stabil, kita akan pindahkan Zamri dengan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk nangka madu, K’RayPack di sini, semalam.

Zamri yang pernah beraksi menerusi tiket wildcard pada Kejua­raan Motosikal Dunia lima tahun lalu, berada dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas mengalami kece­deraan serius akibat terlibat dengan kemalangan semasa perlumbaan pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Sentul, kelmarin.

Menurut laman web www.mobilinanews.com, Zamri yang beraksi untuk pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing dipercayai gagal mengawal jentera yang ditunggan­ginya semasa pusingan keempat menyebabkan dia tergelincir ke arah penghadang keselamatan sebelum dilanggar dari belakang oleh Dimas Ekky Pratama.

Kemalangan itu menyebabkan pelumba berusia 34 tahun itu patah tangan, selain mengalami kecede­raan serius di bahagian kepala dan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di Hospital Petra Permata Sentul.

Khairy memberitahu, KBS akan sentiasa memantau perkembangan terkini Zamri yang kini masih berada dalam keadaan kritikal.

“Semestinya kita akan sentiasa memantau perkembangan Zamri dan sebaik sahaja dapat dipindahkan, kita akan membawa beliau ke pusat perubatan yang lebih lengkap daripada segi kemudahan,” tegas­nya.

Sementara itu, pengurus pasukan Musashi Boon Siew Honda, Zulhelmi Ahmad berkata, Zamri masih dirawat dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pasukannya sentiasa berada di sisi pelumba itu, selain, membantu sebarang urusan logistik.

“Kami akan berada di Jakarta bagi menguruskan kebarangkalian Zamri dipindahkan ke pusat perubatan lain sebaik saja mendapat kebenaran daripada pihak hospital yang merawatnya ketika ini,” katanya dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan dari Jakarta, semalam.

Menurut Zulhelmi, pasukannya juga telah menerbangkan ahli keluarga Zamri ke Indonesia bagi membolehkan mereka berada di sisi pelumba veteran itu.

“Kami juga meminta kerjasama pihak media agar menghormati hak peribadi keluarga Zamri yang memerlukan ruang privasi,” ujarnya.

http://www.utusan.com.my/sukan/lumba-motorsikal/zamri-akan-dibawa-pulang-jika-stabil-8211-khairy-1.100652#sthash.27oxyBLj.dpuf

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget