Tuesday, June 9, 2015

Kedudukan Pingat Kontinjen Negara Berubah

Kedudukan Pingat Kontinjen Negara Berubah



Kedudukan pingat kontinjen negara pada temasya Sukan SEA ke-28 di sini mula meningkat.

Selepas dua hari berada di tangga kelima, Malaysia hari ini memintas Indonesia untuk berada di kedudukan keempat dengan mengumpul 15 pingat emas, 19 perak dan 23 gangsa.

Pada hari ketiga temasya secara rasmi berlangsung, atlet-atlet negara menambah tujuh lagi pingat emas hari ini.

Acara terjun dan wushu masing-masing menghasilkan dua pingat emas, sementara renang, snuker dan petanque menyumbang satu pingat emas setiap satu.

Kejayaan Muhd Hafizuddin Mat Daud paling mencuri tumpuan buat kontinjen negara selepas berjaya menamatkan kemarau pingat emas 14 tahun kontinjen negara dalam acara petanque.

Beliau melakar sejarah dalam penyertaan Malaysia dalam sukan petanque di Sukan SEA sejak kali pertama acara itu dipertandingkan sejak 2001 di Kuala Lumpur.

Sementara itu acara wushu yang menutup tirainya hari ini, menyaksikan skuad negara akhirnya berjaya meraih dua pingat emas melalui Loh Jack Chang dalam acara Taijiquan pilihan lelaki serta gandingan Audrey Chan, Chan Lu Yi dan Aggie Cheah dalam acara duel tanpa senjata.

Hari keempat daripada 11 hari pertandingan Sukan SEA esok menawarkan sejumlah 40 pingat emas dengan acara kanu menawarkan sembilan daripadanya.

Acara olahraga, golf dan tenpin boling akan membuka gelanggang esok.

-- BERNAMA


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget