Selamat Tinggal Harimau Muda

/
2 Comments

Selamat Tinggal Harimau Muda


Semenjak 2009, skuad Bawah 23 tahun negara tidak pernah tercicir dari persaingan separuh akhir bola sepak Sukan SEA, namun rekod cemerlang itu hanya menunggu masa untuk tercalar dalam edisi di Singapura apabila Malaysia hampir pasti tersingkir di peringkat kumpulan selepas tewas 0-1 kepada juara bertahan Thailand di Stadium Bishan semalam.


Jaringan tunggal ketua pasukan Sarach Yooyen pada minit ke-81 sudah cukup untuk pasukan Gajah Putih itu meletakkan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee di ambang pintu keluar walaupun mempunyai baki dua perlawanan, berdepan Brunei (8 Jun) dan Laos (11 Jun), dan hanya keajaiban membolehkan mereka terus mara.

Satu hakikat yang sememang­nya cukup pahit untuk ditelan namun hanya itu sahaja mampu dilakukan oleh jurulatih Kim Swee dan pemain-pemain di Singapura serta gagal mengulangi sekurang-kurangnya pencapaian yang dilakukan edisi lalu di Myanmar iaitu mara ke separuh akhir.

Kegagalan di Singapura mengulangi apa yang berlaku di Korat pada 2007 ketika skuad negara dibimbing oleh B. Sathianathan.

Terlalu banyak kepincangan ditunjukkan oleh skuad Bawah 23 negara pada temasya ini. Ekoran persiapan yang kurang sempurna kerana Kim Swee hanya diberi masa tiga minggu untuk menyediakan pa­sukannya di samping kebanyakan pemain utama bergelut dengan masalah kecergasan sehinggakan sukar mendapat tempat dalam pasukan negeri atau kelab masing-masing dalam Liga Malaysia.

Ditambah dengan isu pemain tengah prolifik Mohd. Nazmi Faiz Mansor digantung enam perlawanan, situasi itu memberi bebanan tambahan kepada pasukan negara.

Memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang selepas dibelasah 1-5 oleh Vietnam, Kim Swee membuat empat pertukaran dalam kesebelasan utama de­ngan menurunkan Syahrul Azwari, Mohd. Ariff Farhan Mohd. Isa, Nazirul Naim Che Hashim dan Shahrul Mohd. Saad sementara Gary Steven Robbat menjadi ketua pasukan menggantikan Mohd. Fandi Othman yang turut direhatkan.

Thailand unggul sejak awal apabila mengawal bola dengan baik selain bijak mencari ruang ketika melancarkan gerakan dari tengah yang direncanakan oleh Messi Thailand, Chanathip Songkrasin.

Pada minit ke-10, penyerang berbahaya Chananan Pombubpha mengejutkan pertahanan negara apabila menanduk bola hantaran Rungrat Phumichantuk dari kiri tetapi tersasar.

Gary sepatutnya meletakkan Malaysia di hadapan tiga minit kemudian melalui serangan balas dan dalam situasi satu lawan satu de­ngan penjaga gol, dia lambat me­lakukan keputusan sebelum diberi tekanan oleh pertahanan Thailand sehingga menyepak keluar.

Pada minit ke-17, Thitiphan Puangjan sekadar menyepak tinggi di hadapan gawang skuad negara yang terbuka sebelum sekali lagi melepaskan peluang apabila tandukannya meliar pada minit ke-28.

Dua minit kemudian, sekali lagi saat keemasan dilepaskan oleh Thailand apabila Nurul Sriyankem melakukan tandukan tepat ke dakapan penjaga gol, Mohd. Farhan Abu Bakar setelah diumpan oleh Phumichantuk.

Pada separuh masa kedua, anak-anak buah Kim Swee mengimbangi rentak Thailand yang hanya me­ngancam pada minit ke-49 menerusi gerakan solo Songkrasin dengan Syahrul Azwari hampir menjaringkan gol pada minit ke-59 selepas rembatan kencangnya dari luar kota penalti ditepis keluar oleh penjaga gol Chanin Sae-Ear.

Bagaimanapun, segala-galanya musnah ketika permainan berbaki 10 minit untuk ditamatkan apabila tanpa diduga Yooyen melepaskan rembatan jarak jauh yang tepat ke penjuru gawang yang dikawal Farhan sekali gus melengkapkan episod pedih pasukan negara. – UTUSAN

http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/boleh-ucap-selamat-tinggal-1.99208#sthash.fZJ3ygs7.dpuf

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit


    You may also like

    2 comments:

    Que Haidar said...

    pasrah je la.. team ni kurang menyengat

    Miss Vee said...

    Power, Hebat, Terunggul !!
    Anda Pasti Mahukan Ini ....

    http://scalar2u.blogspot.com/2014/06/wow.html

    LightBlog