Friday, June 19, 2015

FAM belajar dari Liga J, jalin kerjasama

Mokhtar Ahmad (kiri) bertukar-tukar cenderamata dengan Mitsuru

Bola sepak Malaysia memasuki satu lagi lembaran baharu dengan termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Liga Jepun (Liga J) semalam.


Tanpa menetapkan tempoh tertentu untuk kerjasama berkenaan, MoU itu akan menyaksikan keha­diran pemain dari kedua-dua negara dalam liga tempatan masing-masing selain membuka peluang kepada Malaysia menghantar skuad belia mereka berlatih di negara Matahari Terbit itu.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad menandatangani bagi pihak Malaysia manakala Mitsuru Murai, yang merupakan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) dan Pengerusi Liga J, mewakili negara itu di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini.

“MoU ini tidak mempunyai tempoh tertentu dan akan dilaksanakan secara percuma dan sukarela de­ngan kerjasama Liga J. Banyak yang boleh kita pelajari dari Jepun dalam membangunkan pemain kita.

“Sejak Liga J diperkenalkan pada 1993, mereka telah layak berturut-turut ke Piala Dunia tanpa gagal mulai 1998 (termasuk 2002 sebagai tuan rumah bersama Korea Selatan). Lagipun beberapa negara Asia Tenggara lain seperti Thailand, Viet­nam dan Indonesia sudah pun menjalin kerjasama sebegini,” kata Mokhtar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM.

Murai mula berkata: “Liga Jepun mengutamakan corak permainan pantas. Kami juga menggalakkan pemain belia bawah 21 tahun untuk memulakan karier di sini.

“Saya tahu EPL (Liga Perdana England) memang popular tetapi anda (Malaysia) mungkin mahu lebih mengikuti perkembangan Liga J apabila semakin ramai pemain anda yang bertapak di Jepun.”




Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget