Thursday, April 2, 2015

Malaysia tiada wakil perseorangan lelaki di Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015


Kejohanan Siri Super Premier Terbuka Malaysia 2015 yang sedang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil menjadi satu lagi mimpi ngeri buat skuad kebangsaan apabila buat kali pertama dalam sejarah penganjurannya tiada wakil perseorangan lelaki daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) layak ke dalam senarai undian utama.

Chong Wei Feng, Liew Daren dan Goh Soon Huat nyata gagal memberikan saingan apabila mereka tersingkir di peringkat kelayakan tetapi bekas juara remaja dunia Zulfadli Zulkiffli menjadi penyelamat maruah negara buat seketika apabila melangkah ke undian utama sebelum tersingkir di pusingan pertama.

Ketiadaan jaguh badminton negara yang juga juara 10 kali Terbuka Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dalam edisi kali ini nyata memberi kesan besar sekali gus membuktikan tanggungjawab yang digalas­nya selama ini tidak mampu untuk dipikul oleh mana-mana pemain perseorangan lelaki lain.

Meskipun senario seperti ini sudah dijangka, terutama selepas kegagalan skuad kebangsaan di kejohanan Siri Super Premier All England, BAM seharusnya sudah memiliki pelan perubahan kerana pada ketika ini hanya perubahan radikal sahaja yang dilihat mampu menyelamatkan sukan badminton negara yang semakin merudum.

Juara dua kali Terbuka Malaysia (1996, 2001), Ong Ewe Hock menyifatkan ketiadaan wakil dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan yang berlangsung di tempat sendiri merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima meskipun pada hakikatnya trend kejatuhan ini sudah mula kelihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Kehadiran Morten Frost Hansen selaku Pengarah Teknikal dilihat menghidupkan semula peluang negara untuk kembali menjadi antara negara yang digeruni tetapi memerlukan masa untuk direalisasikan.

“Trend kejatuhan ini sudah nampak sejak dua tiga tahun lalu dan adalah fakta yang tidak boleh dinafikan,” katanya.

Bekas pemain kebangsaan berusia 43 tahun itu menjelaskan ada beberapa perkara yang boleh diberikan perhatian sekiranya BAM ingin melakukan perubahan, antaranya memberikan ruang kepada bekas-bekas pemain kebangsaan untuk terlibat dalam merangka program latihan bersesuaian.

“BAM boleh menjemput bekas pemain seperti saya untuk terlibat di dalam jawatankuasa kejurulatihan bagi memberikan pandangan kerana kami semua pernah melalui fasa selaku pemain selain mengetahui apa yang diperlukan,” katanya.

Selain mengekalkan program untuk barisan pemain senior, BAM perlu menghantar para pemain muda untuk menyertai lebih ba­nyak kejohanan agar memberikan mereka lebih banyak pengalaman dan dapat membantu mematangkan corak permainan mereka.

Ewe Hock memberitahu, mereka perlu dihantar lebih kerap dan pada masa sama menilai semula persembahan mereka selepas setiap kejohanan untuk tujuan penambahbaikan sebelum dihantar menyertai kejohanan lain.

“Pemain seperti Goh Jin Wei (juara termuda perseorangan wanita sirkit kebangsaan) perlu kerap dihantar menyertai kejohanan dan bukannya disimpan atas alasan terlalu muda untuk beraksi dalam kejohanan-kejohanan besar.

“Jangan dalam tempoh setahun hanya hantar dua atau tiga kejohanan sahaja, kerana kebanyakan negara lain memberi ruang kepada pemain muda dan hasilnya sema­kin ketara. Hanya kita sahaja ber­ada di takuk lama dan makin teruk.

“Jangan pula setiap kali hantar pemain muda untuk beraksi mahu dia menang sebab sekarang ini keadaan kritikal, kalau hantar mana-mana pemain pun belum tentu menang,” katanya.

Dia juga menggesa agar BAM memberi perhatian serius terhadap semua aspek termasuk dari segi kejurulatihan dan pengurusan sekiranya mereka benar-benar mahu mengubah perkara ini selain membuka ruang untuk sebarang pandangan serta kritikan yang membina demi kebaikan sukan itu.

“Buka ruang untuk orang berikan kritikan, pandangan dan bukan tutup pintu untuk perkara se­perti ini. Sekarang ini orang nak beri nasihat tetapi tidak mahu dengar,” katanya.

Sebelum ini, anggota skuad juara Piala Thomas 1992, Kwan Yoke Meng turut menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi sukan badminton negara dan berharap pemain muda akan diberikan lebih ruang untuk menimba pengalaman.

Dia memberitahu, kebanyakan pemain sekarang seolah-olah berada dalam zon selesa kerana kurang persaingan tetapi perkara ini tidak akan berlaku sekiranya mereka diberikan tekanan dan perebutan tempat untuk berada dalam skuad kebangsaan.

“Kita memiliki barisan pemain muda yang bagus dan mereka seharusnya diberikan lebih peluang untuk menyertai kejohanan besar bagi mencari pengalaman,” kata­nya.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget