Wednesday, March 4, 2015

Victor penaja rasmi BAM dengan nilai tajaan RM60 juta.


Semalam, syarikat pengeluar barangan sukan Taiwan, Victor me­meterai perjanjian penajaan de­ngan badan induk badminton negara itu selama enam tahun, dengan nilai RM10 juta setahun.

Walaupun Chong Wei tidak terlibat dengan penajaan tersebut ke­rana masih memiliki kontrak penajaan peribadi bersama Yonex, selain digantung sementara sehingga perbicaraan kes dopingnya selesai, namun Victor tetap mahu menjalin kerjasama dengan BAM.
Advertisement

Sejak Chong Wei digantung oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), November lalu, BAM masih gagal melakar kejayaan besar di pe­ringkat antarabangsa.

Pencapaian terbaik skuad negara setakat ini ialah menjuarai acara beregu wanita pada Grand Prix Emas Terbuka India, Januari lalu menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.
Advertisement

Rekod kurang meyakinkan itu bagaimanapun tidak menghalang Victor daripada menjadi sebahagian ‘keluarga’ BAM menerusi penajaan berbentuk kewangan serta perlatan sukan.

Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai memberitahu, selepas meneliti pelbagai aspek, pihaknya mendapati kontrak yang ditawarkan Victor lebih fleksibel dan bersesuaian dengan keperluan persatuan serta pemain.

Katanya, berdasarkan kepada perjanjian yang dimetrai itu, para pemain juga akan menerima bonus yang lebih lumayan sekiranya berjaya menempa kejayaan dalam mana-mana kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Pemain akan dapat lebih ba­nyak pulangan kerana peruntukan kewangan adalah lebih besar berbanding sebelum ini, selain kami juga dapat menghantar lebih ramai pemain ke kejohanan antarabangsa.

“Bagaimanapun ia tidak bermaksud tiada sebarang had. Kami tetap akan menghadkan pemain ke kejohanan antarabangsa bergantung kepada faktor kewangan serta perancangan jurulatih,” katanya selepas majlis menandatangani penajaan di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini semalam.

Turut hadir adalah Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff dan Pengerusi Victor International, Chen Den Li.

Kata Chin Chai lagi, Victor juga akan menghantar pasukan penyelidik dan pembangunan mereka dalam tempoh 10 hari lagi bagi membantu menyediakan raket serta kasut yang lebih sesuai dengan keperluan pemain elit negara.

“Bagi pemain, raket serta kasut merupakan perkara utama dalam sukan ini jadi mereka akan menggunakan peralatan yang bersesuaian dengan mereka tetapi buat masa sekarang mereka akan gunakan peralatan yang sedia ada untuk sementara waktu,” katanya.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget