Friday, February 27, 2015

Bintang Hoki Negara, Faizal Saari Mohon Maaf


Faizal Saari buat kali pertama meminta maaf atas segala kekecohan timbul ekoran kegagalannya hadir pada sesi latihan skuad hoki kebangsaan sejak bulan lalu.

Namun dalam masa yang sama, penyerang kontroversi itu menegaskan, kedua-dua pihak iaitu dirinya dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) bersalah dalam perkara ini.

Bagaimanapun tegas Faizal, kekalutan yang berlaku ini sudah hampir menemui noktah selepas mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan MHC.

“Perkara ini sudah hampir menemui titik noktahnya selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang terlibat.

“Saya juga masih boleh menyertai kem latihan skuad kebangsaan dan tidak akan dikenakan hukuman pergantungan oleh MHC.
Advertisement

“Saya harap perkara ini tidak menjejaskan hubungan baik saya dengan rakan sepasukan, malah saya berharap mereka dapat menerima saya seperti sedia ada.

“Saya memohon maaf sekiranya permasalahan yang timbul sebelum ini menyusahkan banyak pihak, namun MHC juga mempunyai salah mereka dalam hal ini.

“Seandainya salah itu datang daripada pihak saya sendiri, saya mahu meminta maaf dan berharap perkara ini tidak akan berulang kembali.

“Harap semua pihak dapat memaafkan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, jurulatih hoki kebangsaan, Tai Beng Hai menegaskan, Faizal bukan anak emas MHC dan dia perlu menjalani ujian kecergasan sebelum boleh diserap ke dalam skuad negara.

Kata Beng Hai, walaupun pemain itu merupakan aset bernilai dalam skuad hoki kebangsaan, namun itu tidak bermakna dia boleh terlepas daripada menjalani ujian kecergasan seperti yang dilalui oleh rakan sepasukan.

“Masalah ini sedang diselesaikan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Presiden Kanan MHC, Datuk Nur Azmi Ahmad.

“Tugas saya adalah memastikan Faizal menjalani pemeriksaan doktor dan ujian kecergasan sebelum mula menjalani latihan bersama skuad negara. Ini akan memberi keadilan kepada semua pemain,” kata Beng Hai.

Dalam pada itu, Faizal juga perlu menjalani sesi pemilihan bagi menghadapi Piala Sultan Azlan Shah, April ini.

Bagaimanapun penjaring terbanyak Liga Hoki Dunia di Singapura, bulan lalu itu tidak dapat menyertai kem latihan di Australia bermula 3 hingga 17 Mac ini selepas tidak termasuk di dalam senarai 20 pemain.

Dia diketepikan kerana tahap kecergasannya diragui selepas terlalu lama tidak menghadirkan diri dalam sesi latihan skuad kebangsaan.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget