Thursday, March 5, 2015

Rashid Sidek tidak pasti sambung kontrak dengan BAM

Rashid Sidek tidak pasti..

Sehari selepas menerima kha­baran gembira mengenai penajaan bernilai RM60 juta, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima dua tamparan hebat.

Ketua Jurulatih Perseorangan, Rashid Sidek mengakui, dia belum pasti mahu menyambung kontrak bersama skuad badminton kebangsaan.

Manakala beregu paling senior dalam skuad negara, Tan Boon Heong akhirnya mengikuti jejak rakan-rakan baiknya dengan mengumumkan untuk keluar dari BAM.


Selepas 11 tahun menabur bakti bersama skuad kebangsaan dan memenangi pelbagai gelaran, termasuk All England serta Sukan Asia, Boon Heong mengesahkan sudah menghantar surat kepada BAM untuk meninggalkan persatuan itu.

Boon Heong, 27, merupakan pemain beregu lelaki ketiga meninggalkan skuad kebangsaan selepas Hoon Thien How dan Lim Khim Wah.
Advertisement

Keputusan Boon Heong, yang membentuk gandingan mantap bersama Koo Kien Keat sejak 2006 nyata memberi tamparan hebat kepada BAM yang baru mahu mencongak perancangan selepas mendapat tajaan ‘mewah’ daripada Victor, sekali pun menerima kehadiran Morten Frost selaku Pengarah Teknikal.

Difahamkan, Boon Heong mungkin mahu membentuk semula gan­dingan bersama Kien Keat.

Sementara itu, Rashid pula mengakui, dia masih berbelah bagi sama ada mahu meneruskan tugas bersama skuad kebangsaan.

Kata bekas jaguh perseorangan negara itu, semuanya bergantung kepada kontrak baharu yang ditawarkan oleh BAM, malah membayangkan mungkin tidak akan menurunkan tanda tangan andai tiada kenaikan gaji.

“Saya akan tengok dahulu kontrak yang ditawarkan, sekiranya bersetuju saya sambung, kalau tidak puas hati saya tidak sambung.

“Memang Frost kata akan sambung dua tahun tetapi bergantung kepada saya juga dan kontrak yang ditawarkan.

“Saya tidak kata 100 peratus saya akan berada di sini, semua jurulatih tunggu kontrak mereka selama tiga bulan termasuk saya. Sudah semesti­nya kami berharap gaji naik, kalau tidak puas hati, saya tidak akan sambung.

“Gaji kami semua memang tidak tinggi sangat tetapi ada kenaikan. Kalau dibandingkan dengan jurulatih luar, memang gaji mereka le­bih tinggi daripada kami semua. Gaji abang saya (Datuk Misbun Sidek) juga berganda-ganda lebih tinggi daripada saya,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara, di sini semalam.

Kelmarin BAM memetrai perjanjian bernilai RM10 juta setahun selama enam tahun bersama syarikat pengeluar barangan sukan dari Taiwan, Victor merangkumi aspek kewangan serta peralatan sukan.

Suntikan kewangan itu bukan sahaja boleh digunakan untuk pembangunan pemain malahan boleh digunakan untuk tawaran kontrak yang lebih baik kepada barisan kejurulatihan sedia ada.

Hampir semua jurulatih utama telah tamat kontrak termasuk Rashid, Tey Seu Bock, Rosman Razak, Pang Cheh Chang, Jeremy Gan serta Wong Tat Meng dan mereka hanya diberi lanjutan kontrak hingga Mac.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget