Thursday, March 13, 2014

Jawapan kepada "Apa hebatnya Ultras Malaya?", Utusan Malaysia, 12 Mac 2014

Terima kasih kepada saudara MEZA yang berusaha menzahirkan kebimbangan beliau terhadap tindakan Ultras Malaya, walaupun di kala seluruh dunia masih berduka atas kehilangan pesawat MH370 (baca di sini aktikel MEZA).

Untuk makluman saudara, Ultras Malaya ialah sebuah gerakan apolitikal yang menghimpunkan khalayak penyokong bolasepak tempatan daripada pelbagai latarbelakang, dengan matlamat untuk mengangkat martabat sukan bolasepak tanah tumpah darah kita menerusi budaya sokongan. Apabila dikatakan apolitikal, maka ini bermakna Ultras Malaya menuntut mana-mana individu yang ingin turut serta dengan gerakan ini, agar meninggalkan 'lencana-lencana' ideologi mereka tatkala bersama-sama kami. Ultras Malaya bermula dengan sekumpulan kecil anak-anak muda, dan kumpulan ini telah membesar serta meraih sokongan daripada seluruh pelusuk negara. Saudara MEZA bebas untuk melabelkan golongan ini sebagai 'sebahagian kecil peminat bolasepak negara'.

Ultras Malaya telah memainkan peranannya untuk menyumbang ke arah peralihan minat anak-anak muda daripada berkiblatkan bolasepak Eropah kepada bolasepak tempatan. Jika sebelum ini, ramai yang memberikan alasan untuk tidak ke stadium kerana mutu permainan yang tidak setaraf Eropah, kini semakin ramai hadir bukan semata-mata kerana apa yang berlaku di atas padang, tetapi kerana mahu merasai kemeriahan suasana dan atmosfera sokongan. Adakah mutu permainan bolasepak tempatan sudah setaraf Eropah? Lihat sahaja bagaimana pasukan Melaka United yang menghuni Liga FAM (divisyen ketiga), namun begitu ramai penyokongnya hadir memeriahkan stadium.

Beberapa pihak, termasuklah FAM sendiri, telah mengundang Ultras Malaya ke acara anjuran mereka sebagai salah satu 'pemegang taruh' (stakeholder) dalam bolasepak Malaysia, yang mewakili khalayak penyokong. Ini bermakna jika menurut kata saudara MEZA, kami telah dijemput untuk 'menyalak' bagi pihak penyokong termasuklah saudara sendiri.

Ultras Malaya telah menjemput orang ramai untuk menyumbangkan idea yang boleh dicadangkan dalam acara-acara tersebut. Antara yang dicadangkan ialah pewujudan kuota pemain muda dalam kesebelasan utama pasukan, yang akhirnya tampak telah ditolak bulat-bulat oleh FAM apabila mereka memperkenalkan pula kuota dua pemain tua dalam kesebelasan Piala Presiden. Mungkin saudara MEZA menganggap keputusan FAM ini ialah satu keputusan yang cemerlang.

Ingin diingatkan bahawa Ultras Malaya turut memandang serius gejala-gejala tidak sihat yang dilakukan secara berleluasa oleh individu-individu di dalam FAM, di bawah kepimpinan Presiden kini. Antaranya ialah bagaimana seorang Setiausaha Agung boleh mengetepikan bantahan terhadap Myanmar walaupun terdapat bukti kuat bahawa penipuan umur berlaku pada Kelayakan Piala Asia B-22, bagaimana Setiausaha Agung dengan mudah menerima alasan pembatalan saat akhir perlawanan jelajah Australia Harimau Muda walaupun ia diberikan oleh pihak ketiga, dan bagaimana Setiausaha Agung boleh membuat kenyataan menyebelahi syarikat penganjur perlawanan pertunjukan Barcelona bahawa 'ejen perlawanan' tidak diperlukan, sedangkan peraturan FIFA mengatakan sebaliknya. Bagi saudara MEZA, yang mana satu antara gejala ini yang saudara mahu salahkan kepada PBN?

Sebagai gerakan yang mewakili khalayak penyokong, kami tidak mahu berlagak umpama jurulatih jagoan dengan berborak mengenai taktik permainan atas padang, sebaliknya kami mengambil tindakan dalam skop dan ruang lingkup sebagai penyokong. Untuk makluman saudara MEZA, Ultras Malaya sememangnya telah membuat keputusan untuk menghukum FAM dengan protes yang dilakukan semasa perlawanan persahabatan di Stadium Selayang. Ultras Malaya sedia maklum bahawa FIFA telah mendenda Persatuan Bolasepak Poland sebanyak 30,000 franc Switzerland (kira-kira RM112,314) pada November 2013 dan AFC telah mendenda kelab Al Ahli (Arab Saudi) sebanyak 24,000 dolar AS (kira-kira RM78,906) pada Ogos 2013, atas kesalahan yang seakan-akan sama. Jika saudara MEZA mengatakan tindakan ini tidak 'cerdik', sukacita kami ingin ingatkan saudara bahawa tindakan ini terbukti sangat efektif dalam usaha menarik tumpuan seluruh negara, malah beberapa pihak luar, terhadap protes Ultras Malaya. Protes ini akan diteruskan melalui pelbagai kaedah pada musim pemilihan pucuk pimpinan PBN dan FAM.

Sukacita kami ingin mengingatkan saudara MEZA juga bahawa kami memandang berat tuduhan saudara bahawa Ultras Malaya telah 'membaling mercun' kerana kesalahan libel adalah tertakluk kepada Akta Fitnah 1957.

Semua ini berbalik kepada apa yang saudara MEZA sanggup lakukan bagi menamatkan sama sekali gejala-gejala tidak sihat yang merencatkan sukan bolasepak negara selama tiga dekad. Adakah saudara MEZA yang kononnya 'peminat sejati', hanya berani menulis surat kepada akhbar untuk tiga dekad akan datang?

sumber: www.ultrasmalaya.net/

-luis Garcia- 
Recent Comments Widget