MEZA
Peminat Bolasepak Malaya
Apa sebenarnya kehebatan Ultras Malaya
sehinggakan pihak berkuasa dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) tidak
berani mengambil tindakan dan bertindak tegas?
Apa pentingnya Ultras Malaya kepada perkembangan atau kemajuan sukan bola sepak negara?
Apa pula sumbangan paling berkesan yang diberi Ultras Malaya selain
dari mengaib dan menjatuhkan maruah negara di mata peminat sukan dunia?
Nama pun Ultras. Teramat sangat, keterlaluan, terlampau dan berlebih-lebihan. Itulah erti sebenar ultra.
Ultras Malaya membawa maksud (mungkin) peminat bola sepak Malaysia yang teramat, keterlaluan.
Malaya mungkin kerana semangat patriotik orang terdahulu yang membawa kepada kemerdekaan negara ini.
Rasanya mereka yang memanggil diri mereka Ultras Malaya ini tak ada pun ketika negara ini dipanggil dengan nama Malaya.
Sebabnya kalau peminat bola sepak ketika piala rebutan pun dipanggil
dengan nama Malaya, mereka tidak akan bertindak sebagaimana yang
dilakukan Ultras Malaya.
Apa benar Ultras Malaya adalah peminat bola sepak tegar atau hanya
satu kumpulan yang diupah untuk melakukan huru-hara dan membuat kacau
agar dunia sukan bola sepak negara menjadi kucar kacir dan orang
tertentu dapat dinaikkan dan orang tertentu dijatuhkan?
Saya beranggapan Ultras Malaya bukan peminat bola sepak dan mereka
seharusnya disekat dari mana-mana perlawanan bola sepak membabitkan
pasukan negara.
Kalau benar Ultras Malaya adalah peminat bola sepak tegar dan mahukan perubahan, perubahan yang mana satu yang mereka mahukan?
Perubahan pengurusan dalam FAM atau pasukan bola sepak negara?
Kalau pengurusan yang mahu diubah, apakah mereka pasti mutu bolasepak negara akan berubah?
Yang bermain bola bukan dari kalangan pengurusan FAM.
Pemain dipilih dan pemain yang menyebabkan kalah menang perlawanan.
'Bersetuju', FAM bukanlah tidak bersalah.
Salah FAM adalah kerana terlalu lemah untuk bertegas dan berani menyatakan putih itu putih dan hitam itu hitam. Itu silap FAM.
Untuk maklumat semua, FAM tidak ada pemain mereka sendiri. Kalau FAM
ada pemain, kenapa pasukan FAM tidak bermain dalam liga bola sepak
negara?
Pemain yang mewakili negara dipilih FAM dalam kalangan pemain bolasepak negeri.
FAM memberi dana setiap tahun kepada semua Persatuan Bolasepak Negeri
(PBN) dan mereka seharusnya tahu mengurus dana tersebut demi kemajuan
bolasepak negara.
Kalau FAM gagal, ini bermakna PBNlah yang harus dipersalahkan.
Bola sepak bukan setakat tendang dan kejar. Bola sepak perlukan penggunaan otak dan pemain perlu ada footballing brain dan semangat patriotik.
Apakah pemain bolasepak kita punya kedua-dua kriteria ini?
Berbalik kepada keganasan dan keaiban yang mahu dibawa Ultras Malaya,
saya berpendapat, Ultras Malaya cuma tahu 'menyalak' dan tidak tahu
menganalisis.
Apakah dengan membuat kacau dan melakukan perkara-perkara yang boleh
mendatangkan kecederaan malah kematian ini satu tindakan yang cerdik?
Kalau mahu perubahan, cadangkan apa perubahan dan cara bagaimana untuk meningkatkan mutu bolasepak negara.
Setakat pertukaran pengurusan tertinggi FAM tapi mutu bolasepak tidak berubah, lebih baik tidak ada perubahan.
Tahukan Ultras Malaya bahawa dengan bertindak membakar suar dan
membaling mercun, melakukan keganasan dan mencetuskan kacau bilau,
pasukan negara boleh digantung AFC dan FIFA?
Kalau kita mahu perubahan, kita lakukan dengan berhemah dan berfakta.
Berikan FAM jalan terbaik bagaimana cara terbaik mendidik bakal-bakal pemain negara.
Kelakukan yang janggal tidak boleh mengajar orang lain untuk menjadi
cerdik. Jesteru, cerdikkan diri anda sebelum membodohkan orang lain.
Hari ini anda anggota Ultras Malaya. Apakah akan anda lakukan
sekiranya ada kumpulan lain (bukan Ultras) melakukan perkara yang anda
lakukan dan secara kebetulan mencedera atau mendatangkan kecederaan
kepada anak atau saudara anda.
Apakah anda akan menghalalkan perbuatan mereka demi sebuah ketidakpuasan diri dengan FAM?
FAM, Ultras Malaya hanya sebahagian kecil peminat bolasepak negara.
Ketiadaan mereka tidak akan menjejaskan imej bolasepak negara.
Kehadiran mereka hanya mendatangkan keaiban kepada sukan bolasepak negara.
Beranilah untuk mengatakan tidak kepada keganasan, percayalah,
peminat sejati tidak akan merosakkan imej bolasepak negara sendiri.
Ingatlah, ada insan yang mempertaruhkan nyawa demi negara, pemain bolasepak kita mengutamakan habuan.
Itulah bezanya Ultras Malaya dengan peminat sejati bolasepak negara.