Saturday, February 14, 2015

Liverpool kembali 
ke Malaysia


Selepas kali terakhir hadir ke Malaysia empat tahun lalu, gergasi bola sepak England, Liverpool akan kembali menemui penyokong fanatik mereka di sini pada penghujung bulan Julai depan untuk berdepan pasukan Pilihan Malaysia.

Pengumuman mengenai kedatangan juara Liga Perdana Inggeris 18 kali itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dalam sidang akhbar Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM semalam.

Jelasnya, berdasarkan jangkaan awal, perlawanan Liverpool dan Pilihan Malaysia itu akan diadakan sekurang-kurangnya dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri, tetapi gelanggang perlawanan belum ditentukan.

“Ini adalah berita baik buat penyokong Liverpool. Mereka bercadang untuk ke Malaysia dan kami akan mengadakan majlis meme­terai kedatangan mereka di sini secara rasmi.

“Tarikh perlawanan belum diputuskan lagi tetapi mungkin dua minggu selepas Hari Raya Aidilfitri dan mereka dijadual akan berdepan pasukan Pilihan Malaysia di venue yang akan ditetapkan kelak,” katanya.

Sebarang maklumat mengenai jelajah ini akan di kemaskini di website Liverpool Tour iaitu http://www.lfctour.com/. Liverpool juga telah memuktamadkan untuk mengadakan jelajah Australia pada bulan Julai ini dengan menentang Brisbane Roar FC dan juga Adelaide United FC.


Dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Ja­lil pada 16 Julai 2011, skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibim­bing oleh Datuk K. Rajagobal tewas 3-6. Safee Sali menjaringkan dua gol dan satu lagi oleh Safiq Rahim.

Walaupun kunjungan Liverpool kali ini mungkin tanpa kapten legenda Steven Gerrard, namun skuad tersebut masih mempunyai daya tarikan dengan kehadiran nama besar seperti Daniel Sturridge, Raheem Sterling, Jordan Henderson dan Mario Balotelli.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, status perlawanan persahabatan antara Harimau Malaya dan juara Piala Negara-negara Afrika, Ivory Coast akan ditentukan minggu depan.

Bagaimanapun, seandainya Ivory Coast tidak dapat beraksi dalam perlawanan yang dijadual berlangsung pada 28 Mac ini, mereka sudah mempunyai pelan B.

“Kami akan membuat pengesahan dengan Ivory Coast pada Isnin atau Selasa depan dan sekiranya perlawanan ini tidak dapat diadakan, Harimau Malaya akan bertemu Syria kerana pasukan ini sudah menyatakan persetujuan.

“Sama ada Ivory Coast yang kita akan temui pada 28 Mac ini atau Syria sebagai pengganti, aksi persahabatan ini akan diadakan di Stadium Perak, Ipoh,” katanya.

Katanya lagi, hanya Mac tarikh sesuai untuk dilangsungkan sebarang perlawanan persahabatan ke­rana kalendar Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) tahun ini padat dengan jadual kelayakan Piala Asia 2019 dan Piala Dunia 2018.

“Selain itu, FAM dalam mesyua­rat Jawatankuasa Eksekutif sebenar tadi juga bersetuju untuk mengadakan semula kejohanan Pestabola Merdeka pada bulan Disember,” katanya.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget