Isu pemain Harimau Muda yang sering menimbulkan perebutan antara pasukan dalam Liga Malaysia mungkin tidak akan berlaku lagi apabila Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan semua pemain wajib pulang ke negeri masing-masing sebaik saja tamat kontrak bersama skuad pelapis negara itu.
Menurut Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, mulai musim ini semua pemain Harimau Muda bakal dilampirkan kontrak yang memperjelaskan dari mana mereka berasal dan mereka perlu beraksi sekurang-kurangnya satu musim bersama pasukan negeri asal.
Tambahnya, pendekatan baharu yang diambil FAM itu adalah satu pindaan terhadap peraturan sedia ada supaya pemain dan persatuan negeri tidak lagi keliru dengan apa yang dilakukan sebaik sahaja tempoh kontrak pemain bersama Harimau Muda berakhir.
“Dalam kontrak pemain Harimau Muda, memang ada satu lampiran menyatakan setelah perkhidmatan mereka tamat, mereka wajib pulang ke negeri masing-masing, namun banyak salah tafsir berlaku.
“Sebagai contoh, pemain ini berasal dari mana, tetapi di sini timbul banyak kekeliruan kerana siapa yang lebih berhak apabila pemain itu dilahirkan serta dibesarkan di negeri berbeza.
“Jadi, saya cuba mengambil satu pendekatan dengan membuat pindaan terhadap peraturan sedia ada. Ia memperjelaskan status pemain ini sebelum diambil oleh FAM dan beraksi bersama Harimau Muda.
“Kami akan mengambil kira negeri terakhir yang membentuk pemain itu sebelum diserahkan kepada FAM. Negeri itulah yang berhak menuntut kembali pemain berkenaan, bukannya tempat pemain itu dilahirkan atau berasal.
“Apabila perkara ini jelas, saya harap tiada lagi sebarang pertikaian sebaik sahaja kontrak mereka dengan Harimau Muda berakhir.
“Mereka wajib pulang ke pasukan negeri sekurang-kurangnya satu musim, ini adalah mandatori dan pasukan negeri pun kena tawarkan gaji yang berpatutan,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Eksekutif FAM semalam.
Afandi berharap pendekatan ini dapat menjaga hubungan baik antara FAM dan persatuan negeri terutama bagi program pembangunan pemain muda.
“Mengikut konsep ini, saya rasa satu jalinan kerjasama antara FAM dengan persatuan negeri dapat terbentuk kerana mereka tidak lagi takut untuk menghantar pemain mereka untuk dididik oleh kami,” katanya.
Banyak drama perebutan bekas pemain Harimau Muda berlaku musim ini, antaranya melibatkan Gary Steven Robbat yang ditagih Pahang, Johor Darul Ta’zim dan Kedah, selain Mohd. Ferris Danial, yang dimahukan Felda United dan Kelantan.
Musim lalu, Mohd. Affize Faisal menjadi perhatian sebelum diputuskan menjadi milik ATM walaupun dia berasal dari Terengganu.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit