Pemain Harimau Muda sepatutnya diberi kebebasan untuk memilih pasukan yang mahu diwakili mereka sebaik saja kontrak bersama skuad muda kebangsaan itu berakhir, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau yang juga antara pengasas penubuhan Harimau Muda menegaskan, pandangan tersebut bukan ingin mempertikai keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), sebaliknya untuk kebaikan pemain tempatan.
“Dalam isu ini ada pro dan kontra, tetapi saya cenderung untuk bersetuju dengan pandangan jurulatih Harimau Muda A, Datuk Ong Kim Swee iaitu memberi peluang terbuka kepada pemain untuk memperoleh pendedahan permainan yang terbaik dengan pasukan pilihan.
“Memang ada segelintir pihak yang mendakwa kaedah itu akan memberi ruang dan peluang kepada pasukan negeri yang popular tetapi kenapa tidak kita melihat daripada skop yang lebih positif demi prestasi sukan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Tengahari Perniagaan antara Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dan Majlis Amanah Raya (Mara) di Pusat Konvensyen Sime Darby di sini, semalam.
FAM mewajibkan semua pemain pasukan itu beraksi semusim dengan pasukan negeri asal sebelum dibenarkan berpindah ke pasukan lain selepas pelbagai kontroversi timbul angkara perebutan pemain Harimau Muda A.
Beberapa masalah timbul membabitkan perpindahan pemain Harimau Muda A sebelum ini antaranya Gary Steven Robbat, Affize Faisal Mamat, Mohd. Ferris Danial dan D.Sarvindran membabitkan perebutan hak negeri kelahiran dan pasukan lain.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit