Tuesday, February 17, 2015

FAM mahu jumpa Ultras


Kecewa dengan tindakan penyokong yang berulang kali membakar suar di dalam stadium biarpun sudah sering diberi amaran, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bercadang untuk bersemuka dengan kumpulan Ultras pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Ke­selamatan FAM, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim berkata, badan bola sepak itu percaya, rundingan dengan kumpulan penyokong adalah langkah terbaik yang boleh diambil bagi menamatkan insiden membakar suar yang bagaikan tiada kesudahan.

Menurut Muhammad Fuad, beliau percaya, Ultras boleh memainkan peranan besar dalam membantu memben­dung insiden ini kerana kedua-dua pihak pernah mengadakan rundingan ketika skuad Malaysia dipalit kontroversi ekoran tindakan ganas segelintir penyokong dalam perlawanan separuh akhir Piala AFF menentang Vietnam, Disember lalu.

“Selepas insiden buruk yang mencemarkan imej Malaysia dalam kempen Piala AFF tempoh hari, kita ada mengambil inisiatif ini yang akhirnya memberi kesan baik dan tiada peristiwa tidak diingini berlaku semasa perlawanan akhir ke­dua menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 20 Di­sember lalu.

“Pertemuan ini kita buat bukan secara formal, kita hanya berjumpa dengan beberapa orang Ultras dan berbincang dengan mereka untuk mencapai situasi menang-menang yang dapat dinikmati bersama.

“Dalam masa sama, kita boleh dapat tahu apa yang mereka pendamkan, sama ada tidak berpuas hati dengan FAM, ataupun persa­tuan dan kelab bola sepak masing-masing, mahupun perlawanan itu.

“Sekurang-kurangnya kita berusaha untuk membendung gejala ini daripada melarat yang boleh memberi masalah kepada penonton lain di stadium,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut berhubung insiden membakar suar oleh segelintir penyokong Pahang selepas tamat perlawanan Liga Super antara Selangor di Stadium Darul Makmur, Sabtu lalu, pihaknya turut bercadang untuk bertemu dengan Ultras skuad Tok Gajah.

“Kalau boleh kita mahu saling berhubung dengan Ultras negeri masing-masing sebab kita tidak tahu apa yang mereka mahukan. Tetapi ia baru di peringkat awal dan memerlukan perincian yang lebih dalam.

“Sebelum ini juga kita telah bertemu dengan Ultras Selangor yang tidak berpuas hati dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan setakat ini mereka tidak bertindak melanggar peraturan,” katanya.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget