Malaysia dilihat mampu menjadi contoh dalam seni pertahanan diri campuran atau Mixed Martial Arts (MMA) di Asia Tenggara melalui Malaysian Invasion Mix Martial Arts (MIMMA) yang telah berjaya menganjurkan beberapa kejohanan bertaraf antarabangsa.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, MIMMA mendapat pujian dari negara luar dan penglibatan dalam sukan MMA diiktiraf di peringkat global.
“MIMMA bukan sahaja menjadi platform kepada anak muda dalam negara untuk mengetengahkan kebolehan dalam seni mempertahankan diri, tetapi juga mencungkil bakat baharu yang boleh membawa nama negara ke persada antarabangsa.
“Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi sokongan kepada MIMMA dan saya melihat sukan ini bukan sekadar hiburan, tetapi sesuatu yang boleh menjadi satu permulaan baharu kepada sukan mempertahankan diri negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian MIMMA musim ketiga di sini hari ini.
MIMMA musim ketiga terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas dan sebanyak tujuh kategori dipertandingkan seperti Flyweight, Bantamweight, Featherweight dan Lightweight.
Kejohanan MIMMA merupakan buah fikiran Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk Malaysia, Jason Lo dan Khairy sendiri.
Sementara itu, Jason berkata, pihaknya berbangga untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan sukan MMA di Malaysia disertai dengan usaha daripada semua pihak.
“Sukan MMA di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah berkembang dari mana ia adalah agak tidak dikenali dan tiada pendedahan mengenainya.
“Kami mendapat sokongan menggalakkan daripada KBS dan penubuhan Malaysia Mixed Martial Arts Association (Masmmaa) merupakan sebahagian daripada usaha bersama untuk menjamin kerjaya atlet MMA supaya mempunyai masa hadapan yang cerah dan melahirkan juara dunia dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit