Thursday, December 4, 2014

Skuad Penyu pening kepala


PASUKAN Terengganu berkemungkinan perlu mengeluarkan belanja yang lebih besar sekiranya masih berhajat untuk mendapatkan khidmat penyerang, Gustavo Lopez dalam kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Ini kerana, pemain kelahiran Argentina itu masih belum menyelesaikan Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) daripada kelab yang disertainya sebelum ini, Arema FC biarpun telah menandatangani kontrak bersama skuad Penyu sejak awal Oktober lalu.

Setiausaha Agung, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berkata, perkara itu sedikit merunsingkan pihaknya memandangkan tempoh tamat pendaftaran pemain semakin hampir sedangkan Gustavo Lopez masih belum menyelesaikan sijil perpindahannya.

Menurutnya, semasa menandatangani kontrak bersama pasukan Terengganu, pemain itu mendakwa dia tidak diwakili mana-mana ejen, bagaimanapun kita mendapati bahawa ejennya di Indonesia telah mengemukakan surat aduan berhubung tindakan Gostavo Lopez yang mengetepi haknya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Masa dia (Gustavo) datang ke sini , kita dah tanya sama ada dia diwakili ejen atau sebaliknya dan kita percaya apabila dia berkata tidak ada.

“Selepas kita mendengar tentang aduan daripada ejennya itu, kami telah meminta pemain ini menyelesaikan isu tersebut dan sehingga kini kami masih gagal mendapatkan sijil ITCnya,” katanya di sini, semalam.

Dalam pada itu, Arpin Draman berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah berhubung isu perpindahan pemain melibatkan dua lagi awang import, Paulo Rangel dan Hassan Chaito yang baharu menandatangani kontrak bersama pasukan dua minggu lalu.

Katanya, dia akan bertemu dengan ejen terbabit (Felix Ndukwe) di pejabatnya esok (hari ini) untuk mencari kata sepakat bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Apa yang kami mahu sekarang ialah untuk mendaftarkan Lopez sebagai salah seorang daripada empat kouta pemain import pasukan walaupun terpaksa membuat perjanjian lain dengan ejen terbabit.

“Kita kesuntukan masa, jadi kami terpaksa ambil risiko dengan sebarang kemungkinan sama ada dapat beraksi dengan pemain itu atau sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, difahamkan Ndukwe hanya mempertahankan haknya selaku ejen kepada Gustavo Lopez mengikut surat kuasa diberikan kepadanya yang berakhir penghujung Oktober lalu.

“Saya masih ejennya yang sah ketika dia menandatangani bersama Terengganu, dia sepatutnya menunggu sehingga selepas tarikh itu untuk berbuat demikian tanpa kehadiran saya.

“Sebenarnya, saya yang memulakan usaha ini (kontrak) bersama jurulatih Abdul Rahman Ibrahim dan mempunyai bukti menerusi e-mel, jadi saya tidak faham mengapa saya diketepikan.

Bagaimanapun saya akan mempertimbangkan sebarang tawaran yang akan dikemukakan pihak PBSNT nanti berhubung hal ini,” katanya.

~sinar harian


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget