Thursday, December 4, 2014

Tekad Safee mahu ulangi pencapaian 2010


DIHIMPIT dengan isu kontroversi menjelang perlawanan terakhir peringkat Kumpulan B menentang Singapura baru-baru ini, aksi penyerang sensasi negara, Safee Sali langsung tidak mengecewakan.

Safee meledakkan gol pembukaan buat skuad negara bagi membolehkan Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir Piala AFF Suzuki 2014 selepas merekodkan kemenangan, 3-1.

Biarpun menerima teguran umum daripada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Safee menjelaskan ia sedikit pun tidak mengganggu rentaknya berdepan Vietnam, di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

Malah, Safee bertekad mahu tampil dengan aksi terbaik dengan mengulangi pencapaian perlawanan separuh akhir Piala AFF Suzuki 2010, menentang lawan sama di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dalam aksi itu, Safee meledakkan dua gol sebelum kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan dalam pertemuan kedua di Vietnam, sekali gus membolehkan Malaysia melangkah ke pentas final.

“Semangat saya cukup membara pada waktu ini selepas jaringan gol menentang Singapura dan mahu menjaringkan seberapa banyak gol seperti mana saya lakukan pada 2010,” katanya.

Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Datuk K Rajagobal akhirnya muncul juara buat kali pertama sejak 1996 setelah menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir.

~sinar harian


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget