Kapten Harimau Malaya, Muhammad Shukor Adan percaya, walaupun gagal menjulang Piala AFF buat kali kedua, namun kejayaan layak ke final telah membalas segala cemuhan dan kritikan yang dilemparkan kepada skuad kebangsaan selama ini.
Dalam masa yang sama, tonggak veteran Felda United berusia 35 tahun itu menegaskan, dia tidak akan merubah keputusan nya untuk bersara daripada arena bola sepak antarabangsa bersama rakan sepasukan, Indra Putra Mahayuddin.
“Saya mohon ampun dan maaf kepada rakyat Malaysia mewakili pemain negara kerana kami gagal membawa pulang Piala AFF.
“Namun saya rasa apa yang dilakukan pasukan dalam kejohanan ini perlu dihargai kerana semua pemain telah berjuang habis-habisan.
“Pelbagai cemuhan dan makian yang dilemparkan kepada kami selama ini.
“Malah ada pihak yang memandang rendah keupayaan pasukan, namun kami telah buktikan dengan kejayaan melangkah ke perlawanan akhir.
“Saya harap, semua pihak terus memberi sokongan kepada skuad kebangsaan dan juga Dollah Salleh sebagai jurulatih.
“Insya-Allah pasukan ini mampu memperbaiki kelemahan di masa akan datang,” ujar Shukor.
Shukor, yang hanya menyertai skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF demi menghormati permintaan jurulatih, Dollah Salleh turut berharap, pemain-pemain muda mampu memikul cabaran negara pada masa akan datang.
“Niat saya mahu bersara telah diberitahu sejak daripada aksi separuh akhir di Vietnam lagi, jadi saya tidak akan tarik keputusan berkenaan.
“Cukuplah. Saya sudah berusia 35 tahun dan sampai masanya untuk pemain-pemain muda untuk menunjukkan kemampuan kepada Dollah.
“Sampai bila orang-orang lama seperti saya sahaja menjadi pemain utama dalam Liga Malaysia, pemain muda kena buktikan sesuatu,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop