Tuesday, December 23, 2014

Kecoh dua atlet bergaduh

Kavee Alagan (kiri) dan Muhammad Irfan Shamsuddin mencetus kekecohan di asrama penginapan atlet kebangsaan di Casa Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil semalam apabila bergaduh sesama sendiri. Punca pergaduhan tidak diketahui, namun difahamkan kedua-dua sudah berbalah sejak Sukan Universiti ASEAN di Palembang, Indonesia lagi.

TIDAK diketahui apa punca­nya, dua atlet olahraga negara yang baru pulang dari Sukan Universiti ASEAN (AUG) di Palembang, Indonesia baru-baru ini, dikatakan bergaduh sesama sendiri pada Sabtu lalu sehingga menyebabkan kecederaan dan kini menjadi kes polis.

Lebih memalukan, insiden tersebut berlaku dalam kawasan Majlis Sukan Negara (MSN) dan melibatkan atlet olahraga negara, A. Kavee Alagan dan Muhammad Irfan Shamsuddin.

Difahamkan, rasa tidak puas hati telah tercetus di temasya Palembang itu lagi sebelum atlet lompat tinggi, Kavee Alagan mendakwa dipukul hingga cedera di bahagian muka dan tulang rusuk kiri oleh pemegang rekod lempar cekera negara, Muhammad Irfan sewaktu di tempat penginapan atlet, Casa Maj­lis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil Sabtu lalu.

Kata Kavee Alagan, akibat dipukul menyebabkan dirinya pengsan tidak sedarkan diri hingga terpaksa dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Akibat daripada kecederaan ini saya telah membuat laporan polis dan biarlah pihak polis menjalankan siasatan terhadap laporan yang saya berikan,” kata Kavee Alagan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, penjelasan yang cuba diperolehi daripada Muhammad Irfan gagal apabila atlet tersebut tidak menjawab panggilan telefon sewaktu dihubungi petang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner, Chong Kok Sin mengesahkan bahawa pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden itu.

Kata Kok Sin, antara siasatan yang bakal dilakukan oleh pihaknya adalah dengan menilai laporan perubatan mangsa pukul tersebut.

Dalam pada itu, jurucakap MSN yang meminta namanya dirahsiakan turut mengesahkan insiden pergaduhan tersebut berlaku di Casa MSN, Bukit Jalil melibatkan Kavee Alagan dan Muhammad Irfan.

Kata jurucakap MSN itu, kedua atlet tersebut akan dipanggil bagi mendapatkan penjelasan dan buat masa ini pihaknya juga telah memaklumkan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

“Buat masa ini tindakan yang kami ambil adalah dengan mengarahkan kedua atlet tersebut agar keluar daripada Casa MSN serta merta malah perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Pengarah MSN, Ahmad Shapawi Ismail.

“Kita juga serahkan kepada KOM untuk tindakan lanjut berhubung masalah melibatkan atlet mereka,” kata jurucakap tersebut.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget