Wednesday, November 12, 2014

Lee Chong Wei: Saya harap semua pihak faham


Tidur Datuk Lee Chong Wei tidak pernah lena sejak ujian dopingnya disahkan positif, dan jaguh No. 1 dunia itu mengakui hatinya bertambah runsing sebaik saja Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam mengumumkan dia digantung sementara daripada sebarang kejohanan.

Atas sebab-sebab tertentu, Chong Wei menjelaskan, dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai penggantungannya, mahu pun isu doping yang kini menghantui hari-harinya, apatah lagi kes tersebut bakal dipanjangkan ke mahkamah dan melibatkan undang-undang.

Bagaimanapun pemenang dua pingat perak Olimpik berusia 32 tahun itu berkata, dia berdoa setiap hari agar kes tersebut dapat berakhir secepat mungkin kerana itu saja yang mampu dilakukannya ketika ini.

Malah, pemain yang telah banyak memberi sumbangan kepada negara hingga diangkat sebagai ikon sukan Malaysia itu juga amat mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk melepasi detik yang dianggap paling menakutkan dalam kariernya.

“Saya harap semua pihak faham, saya bukan tidak mahu mengulas mengenai perkara ini tetapi saya tidak dibenarkan mengulas atas sebab-sebab tertentu. Saya kena tunggu apakah tindakan yang bakal diambil BWF dan buat masa sekarang apa yang boleh saya lakukan hanyalah bersabar.

“Saya berdoa agar perkara ini cepat selesai, sebab tiada apa lagi yang boleh saya lakukan selain daripada berdoa.

“Namun saya dengan sekeras-kerasnya ingin menegaskan, saya bukan orang seperti itu (mengambil dadah). Saya tidak melakukan perbuatan yang salah.

“Sudah bertahun-tahun saya menjadi pemain badminton dan sudah 15 tahun saya bernaung di bawah BAM (Persatuan Badminton Malaysia) untuk membina karier saya hingga ke tahap hari ini.

“Sepanjang tempoh itu juga, sudah beratus kali saya menjalani ujian doping dan tidak pernah sekali pun saya gagal. Saya tidak tahu mengapa untuk kali ini, saya gagal... Ini adalah kali pertama berlaku.

“Saya sentiasa berhati-hati dengan apa yang saya ambil, apa yang saya buat kerana saya adalah pemain No. 1 dunia... Sudah lima tahun saya menjadi pemain No. 1 dunia, sudah tentu saya mahu menjaga imej saya,” ujar Chong Wei kepada Utusan Malaysia.

BWF dalam kenyataan akhbar semalam mengesahkan Chong Wei digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan kerana gagal ujian doping hasil analisis yang dilakukan ke atas sampel urinnya pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark Ogos lalu.

Mengikut peraturan BWF, mana-mana pemain yang gagal ujian doping boleh digantung maksimum dua tahun, dan seandainya itu berlaku, impian Chong Wei untuk membuat penampilan terakhir pada Sukan Olimpik di Rio 2016 hampir pasti berkecai.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget