Wednesday, November 12, 2014

Copot cedera, terlepas peluang bermain AFF...


Pemain kebangsaan Safiq Rahim berkemungkinan terlepas peluang beraksi di Kejohanan Piala Suzuki AFF 2014 pada 23 Nov di Singapura berikutan kecederaan lutut kanan.

Pengendali skuad Harimau Malaya Dollah Salleh berkata kondisi Safiq akan diketahui selepas pihaknya menerima keputusan pemeriksaan fisio lutut pemain itu.

"Saya difahamkan Shafiq mengalami masalah ligamen di bahagian lututnya. Jika dilihat dari aspek prestasi, Safiq mungkin tidak dapat beraksi pada Piala AFF nanti," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pengurus pasukan perlawanan persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Syria di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya pada Selasa.

Dollah berkata sekiranya skuad kebangsaan tidak dapat menggunakan khidmat Safiq, beliau masih mempunyai pilihan pemain lain seperti Badrol Baktiar, Mohd Badhri Radzi, Md Hafiz Kamal termasuk Shukor Adan bagi posisi pertahanan.

"Safiq mempunyai pengalaman dalam membawa kejuaraan Piala AFF Suzuki 2010. Beliau juga pakar dalam sepakan percuma, saya hilang kelebihan beliau di situ," katanya.

Safiq dan seorang lagi pemain kebangsaan R. Gopinathan, yang turut mengalami bengkak pada bahagian lutut, tidak dapat beraksi dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria pada Rabu.

Malaysia berdepan laluan sukar pada Piala AFF Suzuki apabila diundi bersama juara bertahan Singapura dan juara tiga kali Thailand serta Myanmar dalam kumpulan B.

Dalam pada itu, Dollah turut memilih Shukor menjadi kapten pasukan pada perlawanan antarabangsa menentang Syria di Stadium Shah Alam.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan Shukor akan menjadi kapten pasukan pada Piala AFF Suzuki nanti.

Dollah berkata pemain perlu menunjukkan keseriusan dan komitmen mereka dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa iaitu Syria dan Vietnam di Vietnam di Stadium My Dinh pada Ahad.

"Setakat ini, saya masih tidak puas hati dengan persiapan mereka tetapi saya faham berikutan beberapa perlawanan dalam saingan Piala Malaysia yang terlalu panjang, pemain sudah mula rasa letih. Saya percaya pemain akan membuktikan sesuatu esok (perlawanan menentang Syria).

"Pemain tetap memberikan komitmen mereka seratus peratus dalam latihan. Saya mengharapkan kemenangan dan corak permainan lebih menyakinkan untuk menghadapi Piala AFF Suzuki tidak lama lagi," katanya.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Syria Muhannad Al Fakeer Yassin berkata pasukan Malaysia telah mempamerkan permainan pantas dalam beberapa perlawanan persahabatan menentang Indonesia, Kemboja dan Filipina.

"Malaysia memiliki pemain yang bagus terutama di bahagian midfield dan penyerang, saya pasti esok adalah perlawanan mencabar antara Malaysia-Syria dan saya berharap pemain akan mempersembahkan permainan yang menarik," katanya.

-- BERNAMA


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget