Monday, November 3, 2014

Bekas pemain kebangsaan meninggal dunia akibat angin ahmar


Bekas pemain kebangsaan, Tukamin Bahari, 58, yang pernah membantu skuad bola sepak negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini kelmarin akibat angin ahmar.

Anak Allahyarham, Nur Syafiqah, 21, berkata, bapanya itu dimasukkan ke hospital berkenaan selepas pengsan dan diserang sawan di kediamannya di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang kira-kira pukul 11 pagi kelmarin.

Katanya, bapanya itu mula diserang angin ahmar peringkat permulaan sejak Hari Raya Aidiladha lalu dan dirujuk ke HSA sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

“Selepas itu ayah berubat secara tradisional dan semakin pulih, namun kelmarin arwah pengsan ketika berada di rumah sebelum dibawa ke hospital.

“Doktor sahkan ayah diserang angin ahmar peringkat kedua sebelum saya mendapat panggilan daripada kakak yang memaklumkan bahawa ayah meninggal dunia ketika dalam tidur,” katanya kepada pemberita di sini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Cahaya Baru Masai di sini selepas solat zuhur semalam.

Allahyarham meninggalkan lima anak dan seorang balu, Jasmi Sulong berusia 50-an.

Tukamin yang merupakan pemain Johor FA ketika itu membantu negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 selepas mengalahkan Korea Selatan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur, namun kerajaan menarik diri sebagai boikot kerana serangan Rusia ke atas Afghanistan ketika itu.

Allahyarham juga pernah mewakili negara dalam saingan Piala Asia 1980. - UTUSAN ONLINE


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget