Friday, October 10, 2014

Selepas diterjah, kini pemain Selangor lebih bersemangat.


Insiden penyokong menyerbu pemain Selangor sewaktu sesi latihan di padang latihan mereka semalam memberi motivasi kepada mereka untuk mencipta keajaiban apabila bertemu Felda United dalam suku akhir akhir kedua Piala Malaysia hari ini.

Pengurus pasukannya Mehmet Durakovic berkata, meskipun insiden itu disifatkan sebagai mendukacitakan tetapi beliau yakin akan memberi semangat kepada pasukannya untuk cuba mengatasi Felda United yang kini memiliki kelebihan besar selepas menang 4-0 dalam suku akhir pertama Jumaat lalu.

Menurutnya, kejadian penyokong menyerbu mereka ketika sedang berlatih kelmarin telah memberi kesempatan kepada peminat untuk bercakap dengan pemain.

"Saya harap kejadian itu akan memberi semangat serta impak positif kepada pemain seterusnya membawa hasil yang baik ketika menentang Felda United esok.

"Apa yang pasti kejadian itu tidak menjejaskan prestasi kami dan kami akan terus ke hadapan. Saya tidak salahkan penyokong kerana mereka hanya mahukan pasukan ini berjaya," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Padang SUK di sini semalam.

Mehmet turut memberi jaminan pasukannya akan memberi persembahan 100 peratus dalam setiap perlawanan.

Beliau juga menyuarakan keyakinan Felda United mampu ditewaskan jika pasukannya berusaha bersungguh-sungguh dan memberi tumpuan sepenuhnya.

"Kami berlatih dengan bersungguh-sungguh. Kami tahu keputusan menentang Felda tidak baik, tapi saya jamin pemain saya profesional dan 100 peratus komited dengan pasukan.

"Selagi saya jurulatihnya, setiap pemain akan beri 100 peratus tumpuan walaupun kita tidak memiliki pemain bintang.

"Latihan hari ini juga menunjukkan mereka berada pada tahap yang menakjubkan. Meskipun bukan mudah untuk menundukkan Felda, tetapi jika kita beri tumpuan 100 peratus dalam bola sepak apa-apa pun boleh berlaku," ujarnya.

Kira-kira 50 ahli penyokong Ultras Selangor menyerbu Padang SUK ketika pemain The Red Giants melakukan sesi latihan kelmarin ekoran kecewa dengan kekalahan pasukan mereka kepada Felda United minggu lalu.

Sementara itu, kira-kira 50 ahli Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC) berada di Padang SUK semalam untuk memberi sokongan moral kepada pasukan mereka ekoran insiden kelmarin.
Naib Presidennya, Noor Azman Abbas turut menyuarakan rasa kecewa dengan tindakan penyokong Selangor kelmarin yang bertindak menyerbu pemain hanya kerana kekalahan pasukan tersebut.

"Mereka sepatutnya menggunakan cara yang betul untuk menyuarakan rasa tidak puas hati, bukan dengan cara provokasi.

"Kami juga penyokong Selangor dan kami juga kecewa dengan kekalahan ke atas Felda United, tetapi itu bukanlah caranya," ujarnya.

Menurutnya, SSAF akan terus berada di belakang The Red Giants dan mereka akan menghantar kira-kira 300 ahli untuk memberi sokongan kepada pasukan Selangor dalam perlawanan menentang Felda United di Stadium Temerloh.

- UTUSAN


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget