RTM melalui saluran TV1 akan menyiarkan secara
langsung perlawanan akhir Piala Thomas antara Malaysia dan Jepun pada
pukul 5.30 petang esok dari Stadium Tertutup Siri Fort, New Delhi,
India.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhyati Ismail berkata perlawanan
final tersebut dapat disiarkan secara langsung selepas stesen televisyen
berbayar, Astro, bersetuju memberikan hak siaran kepada RTM.
Beliau berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad
Shabery meminta RTM mengadakan rundingan dengan Astro berhubung
penyiaran langsung final Piala Thomas 2014.
Astro memegang hak siaran langsung Piala Thomas/Uber 2014.
"Saya ingin berterima kasih kepada Astro yang telah membantu bagi
membolehkan rakyat Malaysia menyaksikan perlawanan akhir ini secara
langsung di RTM," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.
Malaysia layak ke perlawanan akhir Piala Thomas selepas 12 tahun dengan
menewaskan pasukan Indonesia 3-0 pada separuh akhir semalam. - Bernama