"SAYA sedia terima apa jua bentuk hukuman dan tindakan yang akan dikenakan ke atas saya,” kata Pengurus Pasukan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), On Jabbar mengulas berhubung insiden yang membabitkan dirinya sewaktu perlawanan JDTII menentang UiTM FC di Stadium MPPG, Sabtu lalu.
“Benda sudah berlaku, saya memilih untuk berdiam diri daripada mengulas perkara ini.
“Saya menerima apa jua bentuk hukuman namun ia tidak sedikit pun menjejaskan komitmen dan perjuangan saya dalam arena bola sepak.
“Saya seorang komited dalam apa jua tugas yang diberikan, kejadian ini tidak membuat saya berputus asa dalam bola sepak,” katanya semalam.
Dalam kejadian Sabtu lalu, On dilaporkan seakan menumbuk pengadil perlawanan, Sukri Abdul Rahman yang dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan yang dibuat.
Tindakan itu berjaya dirakam media yang hadir membuat liputan perlawanan yang berkesudahan seri 2-2.
Penyokong tuan rumah turut bertindak membuat kecoh dalam stadium dengan melontar pelbagai objek ke dalam padang selain melemparkan kata-kata kesat yang kemudiannya berjaya diredakan pihak berkuasa, diikuti pengadil dibawa keluar kira-kira jam 11.15 minit malam.
INSIDEN kekasaran yang berlaku membabitkan pengurusan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) ketika menentang UiTM FC di Stadium MPPG, Sabtu lalu diselar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail.
Meskipun Tunku Mahkota Johor itu tidak dapat menerima tindakan oleh Pengurus JDT II, On Jabbar itu namun beliau tetap menyebelahi On.
“Insiden tidak diingini yang melibatkan On sememangnya tidak dapat diterima dan saya sangat menyelar tindakan tersebut.
“Bagaimanapun, saya tetap menyebelahi beliau dan mengakui akan sumbangan beliau kepada negeri dan PBNJ serta saya amat memahami akan kekecewaannya.
“Dari ini, seluruh negara dapat melihat betapa lemahnya mutu pengadilan yang berada di bawah pengurusan FAM,” katanya dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman web rasmi Johor Southern Tigers, semalam.
Tunku Ismail berkata, pengadil yang terlibat merupakan individu yang sama terpalit dalam kontroversi dengan pasukan Sarawak.
“Saya berharap bahawa kita dapat melihat peningkatan dalam mutu pengadilan untuk semua perlawanan pada masa akan datang supaya insiden seperti ini tidak berulang lagi.
“Saya mencadangkan kepada FAM agar berusaha memiliki struktur pengadilan profesional dan sekiranya mereka mengatakan tidak mempunyai sumber-sumber untuk itu, saya akan melakukan yang terbaik untuk mencuba dan menyediakan dana yang
mereka perlukan,” katanya.
Tunku Ismail turut mengingatkan kepada semua bahawa FAM adalah hak rakyat semua, bukannya hak individu.
Dalam insiden Sabtu lalu, On dilihat seakan menumbuk pengadil perlawanan yang dipercayai berpunca ketidakpuasan hati dengan mutu pengadilan Sukri Abdul Rahman pada perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 dengan pasukan lawan.