MASALAH ketumpulan jentera serangan yang membelenggu pendatang baharu Liga Super 2014, Sime Darby (SD) bermula awal musim hingga selesai pusingan pertama selesai dengan kehadiran penyerang kelahiran Croatia, Mateo Roskam yang meledak hatrik dalam penampilan kedua.
Tanpa diberikan sebarang tumpuan kehadirannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pemain tersebut nyata menjadi duri dalam daging buat Kelantan apabila memastikan Khairul Fahmi Che Mat tiga kali mengutip bola dalam gawang sendiri pada pertemuan di Selayang, baru-baru ini.
Situasi ini nyata menggembirakan Ismail Zakaria yang menyifatkan kehadiran penyerang import itu pelengkap kepada pasukannya yang bermula agak goyah pada permulaan saingan.
“Permulaan liga, kita beraksi tanpa dibantu pemain import secara keseluruhan kerana masalah kecederaan selain prestasi yang mengecewakan, semua ini terpaksa dilalui dengan bakat pemain tempatan.
“Dia mencipta hatrik namun saya percaya masih banyak perlu diperbaikinya kerana selepas ini dia akan diberikan kawalan ketat.
“Kombinasinya bersama Dilshod dan Mahmoud terserlah melalui hantaran pendek dan kita mengharapkan ia berterusan dalam perlawanan akan datang,” katanya.