PENGENDALI sementara The Red Warriors (TRW), Mohd Hashim Mustapha mahu barisan pemainnya melupakan kekalahan kepada Sime Darby FC dan kembali fokus bagi pertemuan menentang Sarawak pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Mohd Hashim berkata, hanya kemenangan ke atas Sarawak mampu memulihkan moral pasukannya setelah dikejutkan dengan berita pemecatan ketua jurulatih, Steve Darby oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), dua hari lalu.
“Saya masih terkejut dengan berita penyingkiran Darby. Saya mengambil tanggungjawab ini (mengendalikan pasukan) dengan berat tetapi kami perlu memandang ke hadapan. Saya akan bergandingan dengan Zahasmi Ismail bagi merangka strategi terbaik untuk berdepan Sarawak.
“Saya tak fikir Kelantan akan berdepan kesulitan mendapatkan tiga mata, lebih-lebih kami ada kelebihan bermain di tempat sendiri. Saya harap semua pemain yang diturunkan malam esok (ini) dapat mencipta kemenangan buat pasukan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Menurutnya, penyingkiran pengendali berusia 59 tahun itu tidak mematahkan semangat pemain dan pegawai pasukannya, dan beliau menagih sokongan padu peminat tempatan bagi memastikan kemenangan menjadi milik Kelantan, malam ini.
Mengulas persiapan pasukannya berdepan Sarawak, Mohd Hashim berkata, kemungkinan beliau akan membuat sedikit perubahan taktikal memandangkan beberapa tonggak utama dibelenggu kecederaan.
“Muhammad Nazri Ahmad terpaksa diketepikan akibat penggantungan perlawanan manakala Mohamed Shawky Aly yang mengalami kecederaan pangkal paha telah pulang ke Mesir. Peluang Mohamad Ghaddar masih 50-50 untuk diturunkan kerana saya rasa dia belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Saya akan menilai keadaan semasa dua penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali dalam sesi latihan terakhir petang ini (semalam). Sekiranya keadaan memuaskan, kemungkinan besar mereka boleh disenaraikan pada pertemuan malam esok (ini),” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Hashim turut mengingatkan anak buahnya mengambil pendekatan lebih berwaspada terutama peningkatan prestasi mendadak skuad kendalian Robert Alberts selepas mengecewakan Angkatan Tentera Malaysia 3-2 di Kuching, tempoh hari.
“Kebiasaannya, Sarawak akan bermain secara bertahan dengan meletakkan 10 pemain di bahagian bawah setiap kali berdepan Kelantan. Namun pada masa sama, kami perlu bimbang dengan set piece berbahaya mereka dan pemain tidak boleh melakukan kesilapan terutama di depan pintu gol sendiri,” katanya.