Tuesday, April 22, 2014

Daren fokus satu demi satu


ATAS kertas, pintu buat pemain perseorangan negara, Liew Daren untuk melakar kejutan dalam Kejohanan Badminton Asia di Gimcheon, Korea Selatan yang bermula hari ini boleh dikatakan hampir tertutup.

Ini kerana, Daren yang juga pemain ke-63 dunia bakal berdepan laluan sukar apabila diundi bertemu pemain tuan rumah, Lee Dong Keun dan jika menang akan bertemu jaguh Thailand, Boonsak Ponsana di pusingan kedua.

Sekalipun melepasi kedua-dua halangan itu, Daren mungkin boleh mengucapkan selamat tinggal lebih awal apabila dia dijangka bertemu bintang sensasi China, Lin Dan sekiranya kedua-dua pemain berkenaan layak kelompok lapan terbaik.

“Saya memang sudah jangka undian ini akan memberi kesukaran kepada saya. Namun, ini tidak akan mematahkan semangat saya.

“Saya tidak mahu terlalu fikir mengenai perlawanan menentang Lin Dan sebaliknya mahu fokus satu demi satu perlawanan," katanya.

Bagi Daren, peluang untuk menang ke atas juara dunia lima kali itu terlalu sukar tetapi dia akan menggunakan peluang berkenaan untuk mengkaji corak permainan lawannya itu.

"Memang peluang untuk menang ke atas Lin Dan memang terlalu sukar tetapi saya akan menggunakan peluang yang ada untuk mengkaji corak permainan dia," katanya.
Recent Comments Widget