Thursday, May 21, 2015

Sathia tidak puas hati cara ATM

Sathia tidak puas hati cara ATM


“Tiada istilah rehat dalam kontrak dan saya tidak berpuas hati dengan cara ATM menyampaikan perkara itu.”

B. Sathianathan

Demikian luahan bekas ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B. Sathianathan yang mahu status dia ‘direhatkan’ dari tugas ketua jurulatih segera diberi kata putus.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu juga menyifatkan ‘penyingkirannya’ daripada jawatan itu dibuat secara tidak tertib ke­rana Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Angkatan Tentera (PBAT), Mej. Jen. Datuk Mazelan Kasap memaklumkan kepada­nya di depan pemain-pemain dan pegawai pasukan yang lain.

“(Makluman) keluar daripada mulut timbalan presiden sendiri, di depan semua pegawai dan pemain-pemain dan selepas tujuh hari baru saya diberi surat dan mereka (PBAT) mengucapkan terima kasih kerana menaik­kan nama ATM dan sebagainya serta mereka minta saya turut mengikuti latihan dan beri nasihat jika perlu.

“Tiada dalam kontrak saya sebagai pengawas atau perlu beri nasihat kepada pemain dan jika saya lakukan, adakah mereka (pemain) akan menghormati saya lagi.

“Ketika mereka menawarkan saya untuk membimbing pasukan ini, mereka datang dengan cara yang baik dan mengikut prosedur jadi jika mereka tidak mahukan khidmat saya apa salahnya ikut perkara yang sama.

“Jika jurulatih atau pasukan tidak capai KPI, pertama pe­ngurusan perlu tulis surat kepada jurulatih mengapa tidak berpuas hati dan beri masa untuk memperbaiki prestasi, kedua, selepas terima surat, jurulatih perlu ambil tindakan gugur pemain dan sebagainya.

“Selepas itu barulah tamatkan kontrak, bukan seperti ini. Kini boleh dikatakan saya digantung tidak bertali. Ada dalam kala­ngan pemain sudah saya didik sejak saya mengendali pasukan ini pada 2011 jadi jika mereka tidak mahukan saya, lepaskan dengan cara baik, bukan seperti ini,” tegasnya kepada pemberita di Wisma FAM, di sini semalam.

Sathianathan direhatkan oleh pe­ngurusan pasukan pada 14 April lalu selepas sesi latihan pasukan dan mengikut kontrak, jurulatih berusia 57 itu masih perlu bersama ATM hingga November ini.

Dalam perkembangan lain, Sathianathan yang juga Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM) berkata, pihak­nya mahu satu kontrak berasi­ngan antara jurulatih tempatan dan pemain diwujudkan bagi mengelakkan istilah ‘direhatkan’ diguna sewenang-wenangnya oleh persatuan bola sepak di negara ini.

“Cadangan itu telah disuarakan kepada Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan diharap mendapat persetujuan daripada pengurusan atasan badan induk bola sepak itu,” katanya.

Selain itu, katanya, persatuan juga dapat membantu khusus­nya dalam peluang menjalani latihan di luar negara bagi mendapatkan lesen kejurulatihan dan persatuan juga akan mewujudkan satu laman web bagi memudahkan penyampaian maklumat dan jurulatih yang berminat boleh mendaftar menerusi akaun Facebook Football Coaches Association Malaysia.

http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/sathia-tidak-puas-hati-cara-atm-1.94053#sthash.B5fli9et.dpuf

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget