Wednesday, April 29, 2015

Isteri ‘lelaki berpengaruh’ beri Chong Wei kapsul dicemari bahan terlarang, kata laporan

Isteri ‘lelaki berpengaruh’ beri Chong Wei kapsul dicemari bahan terlarang

Dadah anti-radang dexamethasone yang diharamkan ditemui di dalam suplemen kesihatan jaguh badminton Datuk Lee Chong Wei yang diterimanya daripada isteri seorang "lelaki yang sangat berpengaruh di Malaysia", menurut laporan panel 3 anggota Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Lee Chong Wei

Bahaya Cordyceps

Menurut laporan itu, kira-kira pada 2007 atau 2008, wanita yang tidak dinamakan itu mula memberi Lee sedikit cordyceps tulen dari bekalannya sendiri yang dibelinya dalam bentuk mentah, dijadikannya serbuk dan dikapsulkan di sebuah kedai di Kuala Lumpur.

Susulan itu, dia mula menghantar kapsul Cordyceps itu secara tetap kepada Lee sebagai hadiah.

"Atlet itu (Lee) tidak mahu memberitahu nama wanita itu kerana bimbang dia akan menerima akibatnya, sekiranya dia dikaitkan dengan kes dadah," menurut laporan 13 muka surat yang ditandatangani pengerusi panel Rune B. Hansen.

Laporan itu bagaimanapun berkata, Lee mendedahkan nama wanita tersebut pada satu sesi pendengaran tertutup bersama hanya 3 orang ahli panel itu, yang turut dihadiri peguam Malaysia.

"Pada pendapat panel, ini mengukuhkan lagi kebolehpercayaan beliau," kata laporan itu.

Menurut laporan itu, seorang peguam, Song Wei Kar, pada Mac tahun lepas melawat kedai di Kuala Lumpur itu di mana wanita itu menjadikan serbuk dan menkapsulkan Cordyceps mentahnya.

Pemilik kedai itu mengesahkan kepada Song yang dia memproses Cordyceps tulen itu seperti dikatakan.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu memberikan kenyataan kerana bimbang ia akan menjejaskan perniagaannya.

Menurut laporan itu, tuan punya kedai itu mengakui proses yang dilakukan ke atas Cordyceps tu melibatkan kemungkinan risiko pencemaran.

Makan Cordyceps setiap pagi


cordycepsLee memberitahu panel anti-doping itu beliau makan 2 kapsul Cordyceps setiap pagi pada bulan Ogos 2014, termasuk pada pagi berlangsungnya perlawanan separuh akhir Kejohanan Dunia BWF.

"Bagaimana pencemaran itu berlaku tidak diketahui dengan pasti, tetapi kemungkinan besar ia berlaku semasa proses pengisaran Cordyceps mentah itu menjadi serbuk dan semasa ia diletakkan ke dalam kapsul gelatin di kedai di Kuala Lumpur itu," kata laporan itu.
Analisis makmal juga mendapati kehadiran dexamethasone "dalam dan/atau pada sarung salah satu daripada 2 kapsul" yang masih tinggal dalam bekas yang digunakan Lee dari Ogos 2014 itu, kata laporan itu.

Panel itu berpendapat, kemungkinan yang paling besar menyebabkan ujian ke atas Lee positif untuk dadah anti-radang itu ialah kerana dia memakan kapsul Cordyceps itu dan sarung gelatin kapsul itu tercemar.

Laporan itu juga berkata Lee mula mengambil makanan tambahan Cordyceps pada atau sekitar 1995 pada usianya 13 tahun kerana ibunya percaya ia bermanfaat untuk kesihatan.

Apabila beliau berpindah dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur pada tahun 2000, ibunya selalu menumbuk Cordyceps menjadikannya serbuk dan memasukkan ke dalam kapsul gelatin.

Lee dan atlet lain juga dibekalkan dengan makanan tambahan Cordyceps oleh Institut Sukan Negara (ISN) dari tahun 2005 hingga 2008.

Kemudiannya, apabila dia mula mengambil kapsul yang diberikan wanita yang tidak dinamakan itu, pakar nutrisi sukan di ISN memberitahunya ia selamat digunakan kerana Cordyceps ialah produk berasaskan makanan.

Mengumumkan dapatan panel itu pada 27 April, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kapsul Cordyceps yang mengandungi dexamethasone menjadi punca utama kepada penggantungan bekas pemain nombor satu dunia itu.

Lee digantung 8 bulan oleh BWF kerana kesalahan doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ogos tahun lepas. Bagaimanapun, hukuman penggantungan berkuat kuasa 30 Ogos tahun lepas itu akan berakhir 30 April ini.

Panel BWF yang menjalankan perbicaraan itu mendapati Lee secara "tidak sengaja" mengambil dexamethasone itu.

Ia berpuas hati yang Lee tidak berniat menipu, setelah meneliti keterangan yang diberikan pada pendengaran yang diadakan di Belanda pada 11 April.

"Panel yakin ia bukan kes dadah dengan niat untuk menipu," ia membuat kesimpulan.

Bagaimanapun, panel itu mendapati Lee cuai dalam menerima dan mengambil kapsul yang "diberikan kepadanya dalam bekas yang tidak berlabel atau mempunyai deskripsi," kata laporan itu.

"Lee merupakan atlet terkemuka dunia selama hampir 10 tahun. Bagi atlet dalam kedudukan yang begitu tinggi, beliau seharusnya sangat berhati-hati mengelak kecuaian.

"Dengan menerima kapsul Cordyceps itu, Lee mendedahkan dirinya sepenuhnya kepada risiko yang tidak perlu, dengan memakan bahan terlarang selama bertahun, tidak kira sama ada sumbernya ialah Cordyceps itu sendiri atau kapsul gelatin itu," kata laporan itu.

Lee, 32, menerima kehadiran dexamethasone dalam sampel beliau dan hakikat yang ia suatu pelanggaran anti-doping.

Pemenang 2 kali pingat perak Olimpik itu kini dapat meneruskan kerjayanya dan berharap dapat beraksi pada Sukan Olimpik Rio de Janeiro tahun depan.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget