Monday, April 27, 2015

JDT Rehatkan Bojan Hodak

JDT Rehatkan Bojan Hodak

Bojan Hodak di rehatkan

Bekas pembantu jurulatih kelab Valencia dan Inter Milan, Mario Gomez dilantik sebagai pengendali baharu skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi menggantikan Bojan Hodak, gara-gara pasukan Harimau Selatan itu memerlukan perubahan taktikal.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hari ini mengesahkan Hodak kini direhatkan dan tugasnya akan digantikan oleh jurulatih dari Argentina itu.

Tunku Mahkota Johor itu berkata keputusan dibuat memandangkan skuad Harimau Selatan memerlukan perubahan taktikal untuk meningkatkan tahap permainan pasukan itu.

Menurutnya, walaupun direhatkan, namun, pihaknya sentiasa membuka peluang kepada Hodak sekiranya jurulatih berasal dari Croatia itu mahu kembali satu hari nanti bagi bersama-sama melakukan kemajuan terhadap skuad JDT.

"Kami ada berbual menerusi telefon dan Hodak tidak berkecil hati serta faham keputusan yang dilakukan. Johor memerlukan sesuatu yang baharu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata kontrak Hodak akan tamat Oktober ini dan jurulatih Ismail Ibrahim akan memangku tugas membimbing skuad JDT untuk satu perlawanan sahaja iaitu menentang pasukan India, East Bengal dalam aksi Piala AFC, Selasa ini.

Mario Gomez ganti Bojan Hodak

Mario Gomez
Tunku Ismail berkata Gomez, 58, jurulatih yang kini berada di Hong Kong, dijangka tiba di negeri ini, Jumaat ini.

Katanya Gomez amat teruja dan tidak sabar untuk mengendalikan JDT setelah mengikut perkembangan pasukan tersebut.

Gomez menurut Tunku Ismail, merupakan jurulatih yang berpengalaman besar dan amat berminat untuk menjadi sebahagian daripada projek pembangunan bola sepak yang dilakukan di negeri ini.

Di bawah bimbingan Hodak, JDT merangkul Piala Sumbangsih musim ini dengan mengalahkan Pahang 2-0 serta membantu pasukan itu layak ke final Piala FA dan Piala Malaysia musim lepas.

Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT kini menghuni tangga keempat liga dengan 15 mata selepas sembilan perlawanan.

-- BERNAMA

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget