SINGAPURA: Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh
mengingatkan pemain supaya kekal fokus bagi memburu kemenangan ke atas
Singapura, Sabtu ini.
Perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Nasional, di sini
bakal menentukan kemaraan pasukan ke separuh akhir kancah Piala AFF
Suzuki 2014.
Jurulatih itu mengakui mereka kini berada di jalan sehala dan
hanya kemenangan sahaja akan menjamin laluan ke kelompok empat terakhir.
"Kami kena fokus 90 minit. Walaupun kami main baik, tapi kalau
keputusan mengecewakan, tidak berguna juga. Saya harap pemain dapat
mencari kemenangan bagi pastikan kita layak ke separuh akhir," kata
Dollah ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad itu di
Stadium Bishan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dollah mengingatkan skuad kendaliannya supaya
tidak memandang rendah keupayaan negara Seberang Tambak itu yang sah
kehilangan tiga tonggak utama pada aksi Sabtu ini.
Mereka adalah perancang tengah, Shahdan Sulaiman yang retak buku
lali pada aksi kedua menentang Myanmar di Stadium Nasional, semalam
yang menyaksikan mereka menang 4-2.
Pemain sayap kanan, Ismadi Mukhtar pula mengalami kecederaan
pangkal paha manakala pemain pertahanan, Baihakki Khaizan digantung satu
perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.
Dalam pada itu, Dollah nyata terkilan selepas mereka tidak
dibenarkan menjalani sesi latihan terakhir di Stadium Nasional esok
sebelum berhadapan Singapura.
Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Persatuan Bola Sepak
Singapura (FAS) pada saat-saat akhir bahawa pemilik stadium, Singapore
Sports Hub hanya membenarkan stadium berkenaan digunakan pada hari
perlawanan bagi menjaga kualiti padang rumputnya.
 |
PEMAIN
Harimau Malaya, Indra Putra Mahayuddin (tiga dari kiri) bersama rakan
sepasukan menjalani latihan sambil diperhatikan Dollah Salleh (dua dari
kanan) pada sesi latihan Piala AFF Suzuki 2014 di Kompleks Sukan Bishan,
Singapura, hari ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim |
"Kita kena terima keputusan ini cuma saya kurang berpuas hati
kerana pemain saya tidak dapat mencuba padang di Stadium Nasional,"
jelas Dollah.
Berkongsi pandangan sama adalah penyerang veteran negara, Mohd
Safee Mohd Sali yang menyifatkan pasukan Singapura mempunyai barisan
pemain pengganti yanglengkap walaupun ketiadaan khidmat tiga pemain
utama mereka.
Penyerang kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu turut menyeru rakan
sepasukan supaya melupakan kekalahan tipis kepada Thailand, semalam dan
kekal fokus sepenuhnya menentang Singapura nanti.
"Saya masih yakin kita mampu mara ke peringkat seterusnya dengan corak permainan yang ditunjukkan amat baik.
"Dari situ, kita akan bertambah yakin dan kita lihat Singapura tidak sekuat dulu.
"Saya akan terus menggandakan usaha di jentera serangan dan saya
harap rakan sepasukan beri bantuan kepada saya untuk menjaringkan gol
pada perlawanan itu nanti," jelas Mohd Safee yang menyifatkan pertemuan
dua negara berkenaan adalah satu perlawanan penuh bersejarah.
Malaysia tidak mempunyai pilihan lain selain menundukkan
Singapura sekiranya berhasrat meneruskan perjuangan mereka pada
kejohanan ini.
Singapura pula hanya memerlukan keputusan seri untuk mengiringi
Thailand yang sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas meraih
dua kemenangan.
Thailand mengalahkan Singapura 2-1 pada aksi pembukaan, Ahad
lepas di Stadium Nasional sebelum menundukkan Malaysia 3-2 pada aksi
penuh dramatik di Stadium Jalan Besar, semalam. - BERNAMA
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
Labels: Malaysia