Dollah Salleh membayangkan kesukaran bakal menanti skuad bola sepak negara apabila berdepan Palestin dalam perlawanan kedua kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini kerana lawan mereka kali ini jauh lebih kuat berbanding Timor Leste, pasukan yang mengejutkan Malaysia 1-1 dalam aksi pertama, minggu lalu.
Menurut jurulatih Harimau Malaya itu, Palestin yang membariskan tujuh pemain naturalisasi hampir mengejutkan gergasi bola sepak Asia, Arab Saudi sebelum kalah tipis 2-3 dalam perlawanan pertama mereka, minggu lalu.
Malah, Malaysia juga bakal beraksi tanpa dua tonggak, Junior Eldstal dan Joseph Kalang Tie, yang masing-masing mengalami kecederaan tendon serta buku lali.
“Apa yang saya tahu Palestin ada sekurang-kurangnya tujuh pemain naturalisasi, malah keputusan baru-baru ini (Palestin bertemu Saudi) menyaksikan Saudi terpaksa memerlukan jaringan pada saat akhir untuk menang, jadi itu jelas menunjukkan Palestin tidak boleh dipandang mudah.
“Saya harap apa yang berlaku dalam perlawanan tempoh hari (menentang Timor Leste) tidak berulang lagi (persembahan teruk).
“Saya juga berharap pemain dapat memberikan komitmen 100 peratus dan bagi yang terbaik,” katanya dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.
Dalam perlawanan pertama Palestin, mereka tewas 2-3 kepada Saudi selepas Mohammed Al Sahlawi berjaya menjaringkan gol kemenangan pada waktu kecederaan, sekali gus membolehkan pasukan itu menghuni tangga teratas Kumpulan A.
Sementara itu, kapten Harimau Malaya, Mohd. Safiq Rahim mahu melupakan aksi menentang Timor Leste, sebaliknya menggesa rakan sepasukan untuk kekal positif.
“Apa yang pasti perlawanan lalu sudah jadi sejarah dan kami perlu terus pandang ke hadapan.
“Kami perlu kekal positif dan saya yakin pasukan akan memberi impak serta mengikut perancangan jurulatih dengan baik,” katanya.
Sementara itu, penyerang senior, Mohd. Amri Yahyah berjanji akan berjuang habis-habisan untuk mendapatkan kemenangan di tempat sendiri.
“Kami memang kecewa dengan perlawanan menentang Timor Leste, jadi kami perlu bangkit esok jika mahu meraih tiga mata.
“Kita tidak mahu kesilapan yang sama berulang dan kami telah bersedia sepenuhnya,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit