Monday, June 8, 2015

Masa depan bola sepak negara membimbangkan - Khairy

Masa depan bola sepak negara membimbangkan


Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melahirkan rasa bimbang terhadap masa depan pemain muda di bawah program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) jika mereka diserahkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelak.

Khairy Jamaluddin

Katanya, kebimbangan itu dirasai berikutan sistem yang digunapakai oleh badan induk bola sepak tersebut tidak bagus dan perlu diperbaiki.

“Saya di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), menjaga pemain di bawah umur 7 hinga 17 tahun dan selepas itu mereka akan dibawa ke dalam sistem FAM (sekiranya bakat-bakat muda itu dapat memenuhi potensi FAM).

“Hari ini kalau saya serahkan pemain PPBN saya kepada FAM, saya risau mereka tidak akan mencapai potensi disebabkan kelemahan sistem yang ada dalam FAM dan FAM sebenarnya telah mengabaikan pembangunan (bola sepak) sejak sekian lama.

“Waktu saya jadi Timbalan Pre­siden FAM dulu, saya cuba projek Harimau Muda. Tetapi saya sendiri tahu, itu adalah pendekatan jangka pendek,” katanya ketika ditemui pada program Art of Speed di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, semalam.

Terdahulu, pasukan PPBN Bawah 13 Tahun mencatat lima kemenangan berturut-turut dalam siri perlawanan persabahatan Jelajah Eropah dan keputusan tersebut sekurang-kurangnya mengubati kekecewaan peminat tempatan terhadap aksi buruk skuad bawah 23 tahun di Singapura.

Skuad negara mencatat kemenangan pertama 3-0 ke atas Ingolstadt, diikuti TSV Murnau (3-2), DFB Selection (6-0), DFI Academy (4-0) sebelum menewaskan kelab gergasi Jerman, Bayern Munich (2-1).

Menyentuh mengenai kontinjen negara di Sukan SEA Singapura, beliau berkata, Malaysia masih mempunyai masa untuk mencapai sasaran 56 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat yang ditawarkan tanpa mengira warna.

Jelasnya, terdapat segelintir atlet dalam temasya dwitahunan itu sekadar mengambil bahagian untuk acara pemanas badan menyebabkan pungutan pingat tidak menentu.

“Kita kena tengok perkembangan dari hari ke hari. Ada beberapa acara yang ditandingi atlet merupakan acara pemanas badan bagi mereka. Contohnya dalam sukan renang, ada atlet yang ambil acara 200m gaya bebas sedangkan acara kegemaran mereka ialah 100m gaya bebas.

“Itu merupakan acara bukan kegemaran mereka, (namun) ia cuma acara memanaskan badan. Ini menjejaskan sikit sasaran kita. Jadi apabila ada acara yang ditandingi tanpa ada harapan pingat, maka itu akan merumitkan sedikit sasaran,” katanya.

http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/masa-depan-bola-sepak-negara-membimbangkan-khairy-1.100403#sthash.mRcj4mJU.dpuf

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget