Friday, March 6, 2015

Tan Boon Heong keluar BAM


SERING bertukar pasangan mungkin menjadi punca Tan Boon Heong mengambil keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), kelmarin.


Bekas pemain negara, Roslin Hashim tidak menolak kemungkinan pemain berusia 27 tahun itu sudah bosan dengan sindrom yang berlaku di BAM sehingga membuat keputusan berkenaan.

"Sebagai pemain senior, sudah pasti dia memerlukan pasangan yang tetap dan bukan bertukar ganti. Jika situasi itu sering terjadi, kesabarannya sudah sampai kemuncak dan membuat keputusan keluar dari BAM.

"Isu ini sebenarnya berbangkit, mungkin juga ia berpunca dari BAM, tiada siapa yang tahu kecuali pemain itu sendiri. Tapi saya yakin jika BAM dapat selesaikan isu ini dengan baik, masalah pemain angkat kaki tidak akan berlaku," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, pasangan asal Boon Heong, Koo Kien Keat meninggalkan BAM pada Februari tahun lalu dan menyertai kelab badminton Thailand, Granular sebagai pemain serta jurulatih.

Keputusan Kien Keat menyaksikan Boon Heong digandingkan dengan Hoon Thien How, tetapi pemain itu turut mengambil tindakan sama apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM, bulan lalu.

Ia menyaksikan Boon Heong kini sudah tidak mempunyai gandingan, jadi bergerak secara profesional adalah alternatif terbaik buat pemain kelahiran Kedah itu.

Keputusan itu juga menjadikan Boon Heong pemain keempat meninggalkan skuad elit negara tahun ini selepas tindakan sama turut diambil dua lagi pemain beregu, Hoon Thien How dan Lim Khim Wah pada bulan lepas serta pemain perseorangan wanita, Yang Li Lian, Januari lalu.

Menurut Roslin, pihak pengurusan sepatutnya mengambil tahu mengenai pemain dan apa kemahuan mereka.

“Bila pihak pengurusan pun tidak ambil peduli kemahuan pemain, inilah yang berlaku,” katanya.



Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget