Wednesday, February 11, 2015

Tindakan tidak profesional itu disifatkan 'menganiaya' anak didiknya - John Beasley


Ketua jurulatih berbasikal trek negara, John Beasley tidak lagi berselindung apabila bersuara mahu melihat perubahan dalam Persatuan Kesatuan Berbasikal Malaysia (MNCF) yang disifatkan mempunyai 'dalang' yang tidak profesional.

Beasley yang ditemui di KLIA selepas pulang daripada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di Korat, Thailand, semalam berkata demikian mengulas insiden membabitkan diri dan pelumbanya yang hampir terlepas penerbangan dari Melbourne, Australia ke Bangkok kerana ketiadaan tiket.

Sekalipun sudah tiba di lapangan terbang dua jam lebih awal, Beasley berkata dia dan atletnya diberitahu tiket untuk mereka masih belum dibeli oleh pihak yang ditugaskan oleh MNCF dan hanya memiliki tiket ke Bangkok beberapa minit sebelum pesawat berlepas.

Difahamkan, pihak berkenaan seperti disebut jurulatih adalah seorang pegawai khas dilantik oleh presiden badan induk itu.

Bagi Beasley, dia memang berang dengan apa yang berlaku dan tindakan tidak profesional itu disifatkan 'menganiaya' anak didiknya.

"Saya tidak kisah dengan apa yang berlaku kepada saya namun ia tidak adil kepada pelumba kerana mereka berlumba untuk negara dan tidak sepatutnya dilayan seperti itu," katanya mengulas insiden di Melbourne, 31 Januari lalu itu.

"Saya berharap dan yakin akan ada perubahan di masa depan malah bagi saya sudah masanya untuk mereka (MNCF) berubah.

"Perkara ini memang emosional kerana mereka (atlet) adalah seperti keluarga saya sendiri. Apabila ada pihak yang melukakan hati mereka, mereka melukakan saya juga. Begitupun, mereka nampak seperti sudah faham kerana perkara ini bukannya sekali terjadi kepada kami," katanya.

Selain kelewatan pembelian tiket, jurulatih kelahiran Australia itu juga dikatakan terpaksa menggunakan duit sendiri untuk membayar lebihan muatan peralatan yang dibawa ke Thailand namun dilaporkan sudah dibayar kembali oleh MNCF.

Selain pembelian tiket penerbangan yang dianggap amat lewat dan tidak telus, pegawai dan pelumba negara yang beraksi di ACC juga dikatakan hampir tidak memiliki tempat tinggal apabila tiba di Korat.

Skuad berbasikal trek negara membawa pulang dua pingat emas daripada ACC kali ini yang disumbangkan Azizulhasni Awang dalam acara keirin dan 1 kilometer ujian masa individu remaja menerusi Muhammad Fadhil Mohd Zonis.

-BH

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget