Pertembungan antara dua gergasi Liga Super, Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di Stadium Shah Alam besar kemungkinan bakal diawalkan sehari.
Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada persetujuan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) terhadap rayuan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang menjadikan faktor jadual perlawanan Piala AFC yang bermula 24 Februari ini sebagai punca mereka mahu aksi itu diadakan pada Jumaat.
Bukan sekadar JDT, pasukan Pahang yang turut bersaing dalam Piala AFC juga berdepan dilema yang sama apabila mereka mahu aksi pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur pada 1 Mac dilewatkan beberapa hari agar mereka mendapat rehat secukupnya sebelum berdepan JDT.
Ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), Datuk Seri Afandi Hamzah, mereka ada menerima surat daripada JDT pada lewat petang semalam dan pihaknya akan meneliti dengan lebih mendalam asas yang dikemukakan selain menunggu maklum balas FAS.
“JDT ada mengemukakan permohonan agar aksi dengan Selangor pada Sabtu ini diawal sehari iaitu Jumaat (20 Februari) kerana pada 24 Februari, mereka akan buka cabaran dalam Piala AFC di tempat sendiri menentang East Bengal.
“Mereka mahu mendapat rehat yang cukup sekurang-kurangnya tiga hari namun dalam hal ini, JKPT tidak boleh sewenang-wenangnya membuat keputusan sebaliknya kena dapat persetujuan daripada FAS, surat ini juga telah diberi kepada mereka.
“Jika FAS tidak bersetuju, maka kami FAM tidak boleh berbuat apa-apa atau terpaksa mencari titik pertemuan antara kedua-dua pihak,” katanya semalam.
Berkenaan Pahang, Afandi berkata, skuad Tok Gajah terpaksa bertandang ke Myanmar bertemu Yanadarbon pada 25 Februari dan hanya pulang ke tanah air, dua hari kemudian.
“Satu lagi wakil yang akan bersaing dalam Piala AFC, Pahang juga berdepan masalah kerana terpaksa bertandang ke tempat lawan iaitu di Myanmar.
“Beberapa hari kemudian, mereka perlu bersaing dalam Piala FA bertemu JDT, jadi PBNP (Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang) ada meminta perlawanan di Stadium Darul Makmur itu dilewatkan.
“Berdasarkan cadangan awal, tarikh 3 Mac mungkin paling sesuai untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA antara Pahang dan JDT, namun perkara itu kena dibincangkan terlebih dahulu sebelum diluluskan, “ katanya.
Sementara itu, FAS yang dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan mereka belum mendapat sebarang surat daripada FAM berkenaan permohonan JDT mahu aksi di Shah Alam dilangsungkan Jumaat ini.
Penolong Pengurus Selangor, Noor Hisham Mohd. Ghouth, berkata, dia terkejut mendapat perkhabaran itu, malahan jurulatihnya, Mehmet Durakovic yang ditemui pada petang semalam di sesi latihan, juga tidak mendapat maklumat tersebut.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit