Friday, February 13, 2015

Perginya pengulas sukan paling unik


Pemergian pengulas sukan bersuara emas, Datuk Hasbullah Awang, 63, yang meninggal dunia kerana komplikasi jantung amat dirasai oleh rakan-rakan seperjuangannya.

Mengimbau kembali pembabitan Hasbullah dalam bidang tersebut, seorang rakan karibnya, Pekan Ramli menganggap sahabatnya itu sebagai seorang legenda yang sentiasa menyinari dan menjadi idolanya sejak dari dahulu.

“Kepetahan dan kebolehan beliau mengulas sukan memang dikagumi ramai dan sukar dicari ganti. Malah, saya menganggap kita semua kehilangan seorang legenda dalam dunia ulasan sukan di negara ini.

“Dia memang idola saya dan bukan semua orang mampu menjadi pengulas sukan terbaik dan bukan semua boleh beri ulasan yang padu dan tepat berjam-jam lamanya,” katanya ketika ditemui selepas solat jenazah di Masjid Himatul Aliyah, Kampung Seri Gambut, Seksyen 32 di sini hari ini.

Antara bait-bait ketika Datuk Hasbullah Awang mengulas yang paling di ingati ialah:

“Pukulan smash Rashid Sidek memaku di gelanggang.”

Itu antara ungkapan yang pa­ling diingati peminat badminton tanah air sewaktu menyaksikan skuad negara menewaskan Indonesia dalam perlawanan akhir Piala Thomas pada 1992.

Datuk Hasbullah Awang bukan saja terkenal sebagai pengulas bersuara emas, malah dia cukup dikenali kerana sering menggunakan istilah-istilah sukan yang ada kalanya mencuit hati penonton.

“Penyokong The Red Warriors membelah Banjaran Titiwangsa untuk datang ke Stadium Bukit Jalil,” antara kenyataannya yang mencuit hati merujuk kepada penyokong Kelantan yang hadir menyaksikan final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim.

“Oh.. bersilat nampaknya Matyo di sana.” Itu juga antara kata-kata yang pasti akan dirindui seluruh peminat sukan tanah air.

Namun begitu, suara emas yang acap kali bermain di corong radio dan televisyen itu tidak lagi dapat didengari apabila beliau kembali ke pangkuan Ilahi akibat sakit jantung pada jam 12.20 te­ngah hari di Institut Jantung Negara (ISN) semalam.

Perjalanan karier Hasbullah yang layak diangkat sebagai ikon pengulas tersohor bermula pada 1974 sebagai pembantu siaran tingkat empat di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kuantan selama enam tahun sebelum berpindah ke Angkasapuri.

Selepas menabur bakti selama 18 tahun di RTM, anak kelahiran Teluk Intan, Perak itu mengambil keputusan untuk bersara awal pada 1992 dan menyertai stesen televisyen swasta, TV3 sehingga 1994. Beliau kemudian menyertai semula RTM sebagai penyampai dan pengacara sambilan.

Sepanjang tempoh perkhidmatan bersama RTM, beliau pernah dinobatkan sebagai pengulas televisyen terbaik Sri Angkasa sebanyak tiga kali iaitu pada 1989, 1991 dan 2004.

Allahyarham mempunyai pengalaman luas dalam penyiaran, bukan sahaja mengulas perlawan bola sepak, malah beliau turut terlibat dalam memberi ulasan untuk tujuh Sukan Olimpik bermula edisi Seoul pada 1988 dan yang terbaru di London, tiga tahun lalu.

Selain menjadi pengulas sukan, Hasbullah pernah menjadi hos untuk rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di saluran TV3 pada 1992 dan Selamat Pagi Malaysia (SPM) dalam siaran RTM.Tahun lalu arwah menyertai syarikat penyiaran swasta, Astro Arena dan penampilan sulungnya sewaktu perlawanan Pahang menentang Lions XII.

Sepanjang hayatnya, beliau mudah didampingi dengan rakan setugas, malah lebih dikenali dengan sikap peramah serta bermurah hati dan tidak lokek memberi tunjuk ajar kepada rakan media.

Hasil sumbangan yang cukup meluas dalam industri penyiaran, Hasbullah dikurnikan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa kepada gelaran Datuk.

Biarpun dianggap pengulas legenda, Hasbullah tidak pernah mencipta jurang dengan muka-muka baharu, justeru tidak hairanlah jika pemergian beliau amat dirasai bukan saja oleh keluarga dan sahabat handai, malah mereka yang pernah bertugas bersamanya, selain seluruh peminat sukan tanah air.

Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

Jasadmu mungkin sudah tiada, namun suara emas dan keletah Hasbullah tidak akan lenyap daripada ingatan seluruh rakyat Malaysia.

Semua perlawanan Liga Malaysia hari ini dan esok akan dimulakan dengan bertaka­fur seminit bagi memperingati Hasbullah.

Jenazah Hasbullah kemudian disemadikan di Tanah Perkuburan Kota Kemuning.

Arwah meninggalkan balu, Haziedah Alang Ahmad, 58, dan empat orang anak, Joji'ana, 38; Dodi'ana,37; Lodi'ana, 34 dan Noni'ana, 34, serta tujuh orang cucu.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget