Sukan badminton negara menerima tamparan hebat apabila tiada seorang pun pemain perseorangan lelaki negara berada dalam senarai undian utama kejohanan Super Siri Premier All England yang dijadual berlangsung awal Mac ini.
Bekas pemain perseorangan negara Mohammad Hafiz Hashim melahirkan rasa terkejut dengan perkembangan itu sambil menyifatkannya sebagai sesuatu yang sangat berbahaya buat badminton negara.
Katanya, sebelum ini Malaysia sentiasa berada dalam persaingan utama acara lelaki kejohanan paling prestij itu, dan sekiranya pemain negara gagal melepasi pusingan kelayakan dalam edisi kali ini maka keputusan itu merupakan satu sejarah.
“Saya agak terkejut selepas melihat undian itu semalam (kelmarin). Kebiasaannya pusingan kelayakan ini orang tidak pandang sangat sebab semua tertumpu kepada undian utama, jadi ini merupakan tamparan hebat buat kategori perseorangan lelaki.
“Saya dulu pernah jadi juara dan (Datuk Lee) Chong Wei pun sama, jadi kalau tiada wakil dalam undian utama nampak agak pelik kerana bukan Malaysia sahaja tetapi negara-negara lain juga akan tertanya-tanya.
“Jadi boleh nampak di sini, nama Malaysia selaku kuasa besar badminton semakin suram dan akan merudum sekiranya berterusan begini,” katanya ketika ditemui di kejohanan Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur Maybank di Stadium Badminton Kuala Lumpur, di sini semalam.
Dalam kejohanan itu Mohammad Hafiz yang menyertai acara beregu bersama Mohd. Razif Ab. Latif melangkah ke pusingan seterusnya apabila Vountus Indra Mawan-Winson Neo Vui menarik diri akibat kecederaan.
Tiga pemain perseorangan negara, Chong Wei Feng, Zulfadli Zulkiffli dan Mohd. Arif Abdul Latiff tersenarai untuk menyertai kejohanan All England yang dijadual berlangsung 3-8 Mac ini tetapi mereka perlu melepasi pusingan kelayakan terlebih dahulu.
Wei Feng bagaimanapun masih belum pasti dapat beraksi dalam kejohanan itu kerana masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan pangkal paha kiri yang dialaminya semasa kejohanan Grand Prix Emas Terbuka India, bulan lepas.
Mohammad Hafiz bagaimanapun tetap meletakkan harapan untuk menyaksikan pemain-pemain negara berjaya melepasi pusingan kelayakan sekali gus berada dalam undian utama kejohanan itu.
“Melihat kepada prestasi semasa, saya melihat Arif lebih berpeluang sekiranya dapat mengekalkan aksi konsisten seperti mana yang ditonjolkan semasa beraksi di dalam Liga Purple Kopiko.
“Zulfadli juga berpeluang tetapi masih belum mampu untuk bermain secara konsisten, meskipun dia juara kebangsaan tetapi di pentas antarabangsa dia masih belum jumpa rentak permainan sebenar dan Wei Feng seperti diketahui tidak berada dalam keadaan baik,” katanya
-UTUSAN
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit