Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyuarakan kekesalan selepas segala usaha yang dilakukan bagi memartabatkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak diendah, sebaliknya isu yang dianggapnya remeh menjadi perhatian umum.
Tunku Ismail Sultan Ibrahim
Menurut Tunku Mahkota Johor itu, pelbagai prasarana dan infrastruktur telah dinaik taraf, malah PBNJ turut menjalinkan kerjasama dengan beberapa kelab gergasi bola sepak Eropah, namun masih gagal mencuri tumpuan masyarakat, sebaliknya isu status pemain tengah Harimau Malaya, Gary Steven Robbat terus mendapat perhatian.
“Terdapat pelbagai perkembangan positif yang berlaku dalam bola sepak Johor termasuk kerjasama dengan gergasi bola sepak Jerman, Borrusia Dortmund, selain Valencia (Sepanyol) serta Manchester City (juara Liga Perdana Inggeris).
“Kerjasama tersebut melibatkan beberapa bidang seperti program pembangunan pemain muda, pertukaran pemain, pertukaran kepakaran dalam kalangan pemain dan jurulatih serta kursus untuk jurulatih.
Advertisement
“Kita juga bakal menjadi persatuan tunggal dalam negara yang mempunyai pusat perubatannya sendiri khusus untuk rawatan dan pemulihan pemain JDT. Bagaimanapun amat mendukacitakan kerana perkembangan positif seperti ini tidak diendahkan tapi orang lebih berminat dengn isu-isu remeh seperti status Gary.
“Perkara seperti ini diberi perhatian berbanding gambaran luas berkenaan landskap bola sepak tanah air dan ini mencerminkan betapa rendahnya tahap mentaliti sesetengah individu yang bertanggungjawab terhadap bola sepak dalam negara kita, dan ini antara sebabnya tahap bola sepak kita masih mundur,” katanya menerusi Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers semalam.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit