Wednesday, January 7, 2015

Gaji pemain-pemain Perlis selesai hari ini???


Penantian sekian lama bekas pemain-pemain Perlis terhadap tunggakan gaji selama lima bulan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dijangka terlerai di dalam mesyuarat Jawatankuasa Status FAM hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang memberikan jaminan itu juga membayangkan bahawa jawatankuasa berkenaan sudah mendapat formula terbaik untuk menyelesaikan kes itu selepas melakukan perbincangan antara tiga pihak membabitkan Presiden PFA, Datuk Rozabil Abd. Rahman, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) dan 12 pemain Perlis yang terlibat dengan isu itu.

Tambahnya, mesyuarat itu juga diadakan atas permintaan PFA sendiri yang mahu mencari jalan terbaik supaya kedua-dua pihak dapat menamatkan persengketa­an mereka menerusi media.

“Saya telah berjumpa dengan pengerusi Jawatan­kuasa Status, Datuk Takiyuddin (Hassan) dan Datuk Rozabil, mereka berdua berasakan tiada masalah untuk isu ini diselesaikan menerusi mesyuarat esok (hari ini).

“Namun, bagaimana caranya (diselesaikan) saya rasa lebih baik diserahkan kepada Datuk Takiyuddin, kerana beliau perlu meneliti sama ada perkara itu ada disebut di dalam kontrak pemain.

“Tetapi saya lihat Datuk Rozabil bersungguh-sungguh mahu menamatkan perkara ini secepat mungkin agar persiapan Perlis dapat berjalan dengan lancar pada musim ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini, sidang akhbar yang dilakukan oleh PFAM pada 30 Disember menuntut PFA dan FAM agar mencari penyelesaian secepat mungkin berhubung isu itu atau kedua-dua badan induk ini akan diheret ke mahkamah atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Mengenai isu Gary Steven Robbat, Hamidin berkata kes bekas pemain Harimau Muda itu akan diputuskan sebaik sahaja FAM menerima afidavit daripada Kedah, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Gary sendiri pada hari ini selain berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi yang tidak berasas.

“Dalam isu Gary, Jawatankuasa Status belum membincangkannya kerana tarikh tutup bagi semua pihak menyatakan surat tunjuk sebab adalah pada 7 Janu­ari (hari ini).

“Setiap kes, penerangannya berbeza maka saya rasa lebih elok kita serahkan kepada Datuk Takiyuddin untuk menentukan siapa lebih berhak mendapat khidmat Gary,” katanya.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget