Thursday, January 8, 2015

Tiada siapa ‘sudi’ ganti Rashid

alt

Keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melakukan penstrukturan semula ba­risan kejurulatihan me­ma­kan diri apabila tiada ma­na-mana jurulatih ‘su­di’ menggalas tanggungjawab ketua jurulatih perseorangan negara yang se­belum ini disandang Rashid Sidek.

Isnin lalu, BAM me­nga­­dakan pertemuan de­­ngan barisan jurulatih kebangsaan sebelum mem­­­­buat keputusan me­lantik He Guoquan untuk menyandang jawatan tersebut, namun jurulatih baharu dari China itu menolak dengan alasan dia sebelum ini hanya diarah untuk me­latih pemain pelapis dan bukan pemain elit.

Bekas jurulatih Lin Dan itu di­khabarkan bertemu pihak pengurusan, termasuk Pengarah Kejohanan BAM, Dr. Koay Ban Hing bagi memaklumkan bahawa dia tidak mahu memegang jawatan berkenaan walaupun untuk tempoh yang singkat.

BAM kemudian menawarkan ja­watan tersebut kepada bekas juara dunia Hendrawan namun jurulatih kelahiran Indonesia itu turut menolak tawaran berkenaan.

Perkembangan terbaharu ini nyata memberi tamparan hebat kepada Presiden BAM, Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kerana membuat keputusan drastik, termasuk memberi tugas ke­tua jurulatih beregu kepada Jeremy Gan sedangkan jurulatih itu sudah tamat kontrak sejak Disember lalu.

“Mereka menawarkan kontrak kepada He Guoquan tetapi dia kemudian berjumpa pihak penguru­san untuk menolak tawa­ran tersebut, selepas itu me­reka tawarkan pula kepada Hendrawan dan jurulatih itu juga menolaknya. Mengapa tidak biarkan Rashid te­rus­kan saja tugasnya sampai Morten (Frost) datang?

“Mengapa perlu membuat keputusan melulu seperti ini sedangkan sebelum ini mereka menyatakan se­barang keputusan melibatkan ju­rulatih hanya akan diputuskan selepas Morten datang, keadaan sudah menjadi semakin bercelaru sekarang.


“Hal ini akan berulang, mungkin Morten juga akan buat penstrukturan semula barisan jurulatih. Sepatutnya teruskan dengan jurulatih sedia ada selepas itu barulah beri peluang kepadanya untuk membuat perubahan,” kata sumber dalaman BAM kepada Utusan Malaysia semalam.

Ketika ini pemain perseorangan negara tidak mempunyai ketua jurulatih dan mereka perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan pelbagai kejohanan besar dalam tempoh terdekat termasuk Grand Prix (GP) Emas Masters Malaysia 2015 dan GP Emas Kejohanan Antarabangsa India bulan ini, selain All England, Siri Super Terbuka India dan Siri Super Premier Terbuka Malaysia pada Mac.

Sementara itu Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai ketika ditemui menafikan He Guoquan dan Jeremy dilantik sebagai ketua jurulatih, sebaliknya mereka hanya diberi tugas sebagai penyelaras untuk bahagian perseorangan serta beregu.

“Kami memang tiada ketua jurulatih, mereka akan bekerjasama dengan Rashid, Wong Tat Meng dan Hendrawan untuk perseorangan, manakala Jeremy, Pang (Cheh Chang), Rosman (Razak) dan (Chin) Eei Hui di bahagian beregu.

“Mereka akan mengetuai projek Piala Sudirman dan Sukan SEA Singapura. Dalam tempoh tiga bulan ini kita perlu teruskan program dan tidak boleh berhenti hingga ketibaan Frost.

“Selepas Frost datang, dia ada tempoh sebulan untuk membuat penilaian sebelum memutuskan sama ada ia akan diteruskan atau akan melakukan perubahan kerana dia berhak untuk melakukannya,” katanya.


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget