Thursday, January 8, 2015

PFA selesai isu gaji

Ketua pasukan Perlis, Khairi Zainuddin (dua dari kiri) bersalaman


Isu tunggakan gaji lima bulan bekas pemain Perlis akhirnya diselesaikan menerusi formula ‘kekeluargaan’ oleh Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), tetapi jumlahnya dirahsiakan.

Formula itu dicapai menerusi per­temuan PFA dengan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) serta 12 pemain terlibat, manakala Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjadi orang tengah semalam.

Kata sepakat itu berjaya direnca­nakan oleh Pengerusi Jawatan­kua­sa Status FAM, Datuk Takiyuddin Has­san dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin di Wisma FAM dalam satu pertemuan tertutup, sekali gus menamatkan isu dan persengketaan antara PFA dengan pemain-pemain itu sejak September lalu.

Takiyuddin menjelaskan, 10 daripada 12 pemain berkenaan akan menerima bayaran tunggakan yang telah dipersetujui itu, sementara dua lagi iaitu Arfan Rashid dan Fazuan Abdullah bakal menikmati pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Isu gaji pemain Perlis secara keseluruhannya telah selesai, pemain dan pegawai PFA telah mencapai perjanjian bersama mengenai jumlah bayaran yang tidak perlu saya maklumkan di sini, biarlah menjadi satu angka rahsia.

“Yang hadir mesyuarat hari ini adalah seramai 11 orang, hanya pemain import mereka (Dao Bakary) tidak hadir namun melalui Whatsapp, dia bersedia menerima apa sahaja jumlah yang akan diberikan.

“Daripada 12 orang, dua daripada mereka sejak awal musim lagi telah mengalami kecederaan iaitu Arfan dan Fazuan. Mereka mengalami kecederaan sejak awal musim lagi, jadi mereka berdua layak menerima pampasan daripada Perkeso.

“Sembilan orang (bekas pemain Perlis) yang hadir pada hari ini telah memberi keterangan kepada kami, PFAM juga ada beri pandangan, semuanya berlangsung secara kekeluargaan sehinggalah satu jumlah (bayaran) disepakati di akhir perbincangan,” katanya.

Sementara itu Hamidin berteri­ma kasih kepada pihak yang terlibat kerana memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelesaikan isu berkenaan dan tidak mahu ia berlarutan lebih lama.

“Saya rasa cukup gembira kerana segalanya telah selesai, kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan bagi menamatkan masalah ini dan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemain,” katanya.

Isu gaji tertunggak PFA terbongkar sejak 27 Julai lalu apabila Utusan Malaysia melaporkan pemain-pemain Perlis terpaksa menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan kocek kosong kerana gaji mereka untuk bulan Jun dan Julai tidak dibayar.

Masalah itu menjadi semakin serius apabila pemain langsung tidak mendapat gaji hingga November lalu, malah gaji bagi bulan Jun dibayar pada September lalu.

Keadaan itu memaksa 12 pemain terlibat meminta bantuan PFAM yang kemudian menghantar dua surat kepada PFA pada 29 September dan 16 Oktober lalu namun gagal mendapat sebarang penjelasan.

Isu itu menjadi semakin ‘gempar’ apabila PFAM mengadakan sidang akhbar pada 30 Disember lalu untuk mendesak FAM dan PFA agar menyelesaikan segera isu tersebut atau mereka akan membawa kes itu ke mahkamah atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).


Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget