BELUM pun seminggu dijatuhkan hukuman atas kesalahan melanggar perjanjian yang membawa hukuman denda RM50,000 serta penggantungan tiga bulan, bekas pemain Harimau Muda, Gary Steven Robbart kini bakal berdepan hukuman seterusnya setelah didapati melanggar syarat-syarat penggantungan apabila menjalani latihan dengan pasukan yang terlibat dalam saingan Liga Malaysia 2015 (Liga-M).
Pengerusi Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, berdasarkan keputusan yang dibuat Jumaat lalu, Gary tidak dibenarkan beraksi dengan mana-mana pasukan terlibat dalam Liga M sehingga tamat penggantungan.
"Keputusan kita jelas, Gary tidak boleh terlibat dalam sebarang pertandingan kelolaan FAM dalam tempoh penggantungan (tiga bulan), jadi kita dapati dia menjalani latihan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).
"JDT seperti kita tahu mengambil bahagian dalam saingan Liga M 2015, dia (Gary) belum lagi tandatangan perjanjian baharu dengan JDT, jadi perjanjian JDT dengan pemain tersebut pada 21 November 2014 lalu adalah tidak sah, oleh itu dia kini melakukan kesalahan iaitu melanggar syarat-syarat penggantungan.
"Saya percaya, Setiausaha Agung FAM akan mengeluarkan surat mengenai kesalahan itu kepada Gary dalam masa terdekat," katanya yang memaklumkan sehingga kini masih belum menerima sebarang surat rayuan dari Gary berhubung hukuman penggantungan dan denda dikenakan ke atasnya, Jumaat lalu.
Sementara itu, ditanya mengenai hukuman denda RM100,000 kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) atas kesalahan menandatangani Gary sebelum dibebaskan FAM tetapi tidak kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang turut sama menandatangani Gary, Takiyuddin menjelaskan hukuman tersebut dijatuhkan kerana mendapat aduan dari Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).
"Dalam kes ini ia berpunca daripada KFA yang membuat tuntutan mengenai Gary kepada FAM mengenai tindakan PBNJ yang mahukan Gary tetapi KFA enggan melepaskannya.
"JDT tandatangani Gary 21 November 2014 dan buat surat kepada KFA untuk mohon pelepasan dan Sijil Perpindahan Pemain tetapi KFA tidak bersetuju yang seterusnya membuat aduan kepada FAM untuk dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Status antara Gary, JDT dan KFA," katanya.
Takiyuddin berkata, seorang pemain tidak boleh menandatangani perjanjian yang tidak sah dengan dua pasukan.
"Berdasarkan peraturan di bawah Artikel 1, seorang pemain boleh dikenakan hukuman denda maksimun RM25,000 bagi satu kesalahan dan Gary telah melakukan dua kesalahan.
"Selain itu hukuman gantung minimum 30 hari dan gantung seumur hidup (maksimun) juga boleh dijatuhkan, jadi hukuman yang FAM jatuhkan ke atasnya adalah berada dalam lingkungan tersebut.
"Bagi Pahang pula hukuman amaran keras sudah memadai kerana tiada aduan daripada KFA," jelasnya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit