Tuesday, January 20, 2015

Gary hanya boleh jogging, tapi tak boleh berlatih dengan JDT.


Masalah demi masalah terus berlegar di sekeliling pemain tengah Harimau Malaya, Gary Steven Robbat setelah dia sebenarnya tidak dibenarkan menjalani latihan bersama mana-mana pasukan sehingga tempoh penggantungannya selama tiga bulan tamat.

Pengerusi Jawatankuasa Status, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan, Gary tidak boleh terlibat dalam apa jua aktiviti dengan mana-mana pasukan yang mengambil bahagian dalam Liga Malaysia dan satu kesalahan besar jika pemain itu melanggar hukuman itu.

Pemain itu kini menjalani latihan bersama pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), yang ingin disertainya, sehingga sebelum ini menyebabkan dia tersepit di celah kontroversi.
Advertisement

Sekiranya Gary masih berlatih bersama JDT, Takiyuddin tidak menolak kemungkinan satu surat arahan akan dikeluarkan oleh Sekretariat FAM kepada pemain berusia 22 tahun itu kerana melanggar tempoh penggantungan.

“Gary sepatutnya tidak boleh terlibat dengan mana-mana pasukan yang ambil bahagian dalam Liga Malaysia, termasuk tidak boleh berlatih dengan JDT sebab pasukan itu ada ambil bahagian dalam Liga Malaysia.

“Perjanjian yang dia tandatangani pada 21 November lalu (dengan JDT) sudah tidak diambil kira kerana dianggap tidak sah memandangkan dia masih ada kontrak bersama FAM (hingga 1 Disember).

“Saya percaya Setiausaha Agung FAM (Datuk Hamidin Mohd. Amin) akan mengeluarkan surat kepada Gary dalam tempoh terdekat mengenai larangan (ke atas Gary) menyertai sebarang aktiviti dengan mana-mana pasukan, status dia lebih kurang sama dengan pengawai-pegawai FAM yang digantung perkhidmatan.

“Jika dia hendak membuat latihan, dia boleh menyertai pasukan-pasukan yang tidak terlibat dalam Liga Malaysia atau melakukannya secara persendirian seperti berjoging.

“Sekiranya dia masih melanggar syarat penggantungan (menjalani latihan bersama JDT), itu terpulang kepada Sekretariat FAM dalam menentukan tindakan seterusnya,” katanya ketika ditemui di Wisma FAM semalam.

Gary ketika dihubungi Utusan Malaysia pada Sabtu lalu menyatakan dia akan terus menjalani bersama JDT seperti biasa bagi mengekalkan tahap kecergasan sehingga dia boleh didaftarkan pada pintu perpindahan kedua yang dijangka dibuka pada pertengahan April ini.

Tambahnya, dia tetap akan bersama JDT biarpun terpaksa menjalani penggantungan selama tiga bulan.

Mengulas isu Mohd. Ferris Danial yang menjadi rebutan antara Kelantan dan Felda United, Takiyuddin berkata, beliau masih belum mendapat sebarang aduan daripada mana-mana pasukan.

Tanpa sebarang aduan, katanya, jawatankuasanya tidak boleh mengambil tindakan ke atas sama ada Kelantan atau Felda.

“Mengenai Ferris, saya belum terima apa-apa aduan bagi membolehkan Jawatankuasa Status bersidang, kena ada mana-mana pihak membuat aduan supaya kes ini dapat dibuka serta afidavit dapat dilakukan.

“Saya sendiri belum tengok fakta kes lagi dan kita tunggu ada di antara pasukan itu membuat aduan, ” katanya.

Isu Mohd. Ferris tercetus apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mendakwa pemain itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun dengan Kelantan sedangkan dia sedang menjalani latihan bersama Felda United.

-UTUSAN

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Outfit
    Recent Comments Widget