PEMAIN perseorangan negara, Chong Wei Feng akur sekiranya khidmatnya tidak diperlukan lagi dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut Wei Feng, sekiranya disingkirkan keputusan yang diputuskan badan induk itu dalam mesyuarat akan datang, dia tidak berkecil hati malah menganggap semua itu lumrah yang bakal dialami sebagai seorang pemain.
"Itu cuma pandangan dia (Datuk Norza Zakaria) seorang, kita tunggu apa pandangan semua ahli Majlis BAM mengenai prestasi saya.
"Sekiranya apa yang dikatakan Datuk (Norza) sama dengan yang lain dan beranggapan saya tidak diperlukan lagi, saya akur dan akan menurut perintah.
"Kerana sebagai seorang pemain, saya perlu profesional dan terima apa jua yang akan berlaku mengenai masa depan saya," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Wei Feng yang ketika ini berada di ranking ke-22 turut memberitahu bahawa dia sudah bersedia untuk menyertai kelab badminton luar sekiranya jodohnya bersama BAM berakhir.
"Jika disingkirkan oleh BAM tidak bermakna karier saya terus berakhir, di Malaysia masih banyak kelab badminton yang boleh saya sertai dan ia tidak memberi masalah.
"Cuma saya berharap peluang masih ada dan saya janji akan terus berusaha untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
"Lagipun adat bagi seorang pemain yang ada kalanya menang dan tewas, cuma saya faham apa yang mereka rasa dan saya sebagai peribadi turut kecewa dengan prestasi sendiri," katanya.
Dalam laporan media sebelum ini, Timbalan Presiden BAM, Datuk Norza kecewa dengan Wei Feng dan Liew Daren apabila mereka yang diharapkan mampu mengganti Datuk Lee Chong Wei itu longlai ketika keadaan amat memerlukan.
Kekecewaan itu berterusan apabila Malaysia yang dianggap gergasi besar dunia badminton tidak memiliki wakil untuk kejohanan Final Super Series Masters di Dubai pada 17 hingga 21 Disember depan selepas Chong Wei yang ketika ini digantung sementara Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bulan lepas kerana melanggar peraturan anti doping.
Melihat situasi itu, Norza tampil memberi amaran kepada barisan pemain sedia ada untuk bangkit atau bersedia disingkirkan.
~sinar harian~
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop