Thursday, December 18, 2014

Malaysia kalah 2-0 kepada Thailand



Malaysia kalah 2-0 kepada Thailand pada final pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Rajamangala, Thailand, malam ini.

Thailand memperolehi gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke-72 yang disempurnakan Charylyannic selepas pemain Thailand Adisak dijatuhkan di kawasan kotak penalti.

Selepas jaringan sulung pasukan tuan rumah, skuad Harimau Malaya kelihatan sedikit hilang rentak namun kembali melakukan beberapa serangan ke arah gol Thailand.

Namun, kelekaan pertahanan Malaysia dihukum hebat pada minit ke-85 apabila Kroekrit menggegar gawang Mohd Farizal selepas menyempurnakan hantaran lintang Chanathip.

Stadium Rajamangala kembali bergegar selepas Thailand membawa bekal selesa ke Stadium Bukit Jalil, Sabtu ini.

Harimau Malaya tidak putus mencuba ke pintu lawan apabila Indra Putra Mahayuddin yang tidak dikawal kemas, melakukan percubaan terakhir namun rembatan itu tersasar.

Aksi separuh pertama menyaksikan Thailand dan Malaysia mempamerkan perlawanan seimbang dengan kedua-dua pasukan bertindak memburu gol.

Harimau Malaya bermula garang di Stadium Rajamangala, Thailand, dan bagaimanapun gagal memanfaatkan dua peluang ketika berdepan penjaga gol Thailand, Kawin Thamsatchanan.

Mohd Amri Yahyah gagal menyempurnakan hantaran Safiq Rahim pada minit ketiga apabila rembatan berjaya ditepis keluar sebelum Norshahrul Idlan Talaha menguji ketangkasan Kawin pada minit keenam.


Skuad Harimau Malaya hampir dibolosi apabila berlaku kecuaian yang dihidu oleh Mongkol Thosakrai namun percubaan itu berjaya dipatahkan penjaga gol kebangsaan, Mohd Farizal Marlias.

Pintu gol Malaysia terselamat apabila pemain sayap Thailand, Kroekrit Thawikan yang tidak dikawal melepaskan tendangan lemah yang tersasar ke kiri gol negara.

Tindakan sedikit agresif pemain pertahanan Mohd Fadhli Shas yang mengkasari Adisak Kraisorn memberi peluang terbaik kepada pasukan Gajah Perang apabila memperolehi tendangan percuma di hadapan pintu gol Malaysia.

Namun, 'dummy' yang dilakukan Charylyannic dengan membiarkan Kroekrit melepaskan rembatan gagal singgah ke dalam gawang apabila ia tepat ke tangan Mohd Farizal, sekali gus pintu gol negara terselamat pada minit ke-33.

Tiga minit sebelum babak pertama berakhir, Stadium Rajamangala hampir meraikan gol pertama tuan rumah, namun rembatan Adisak yang sudah pun melepasi pertahanan Malaysia sekadar melewati palang gol.

Thailand dan Malaysia terikat tanpa jaringan selepas tamat separuh masa pertama. – Bernama, 17 Disember, 2014.

Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop
    Recent Comments Widget