Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada penyerang kebangsaan, Safee Sali supaya tidak merokok dalam kem kebangsaan ketika kempen Piala AFF sedang berlangsung.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, penyerang itu sudah meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya, namun sekiranya dia ditangkap melakukan perkara tersebut sekali lagi tindakan tatatertib akan dikenakan.
“Safee sudah minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatannya. Kami juga sudah mengeluarkan amaran lisan kepadanya, jika dia buat lagi perkara yang sama tindakan tatatertib akan dikenakan, berkemungkinan didenda.
“Ia menjadi satu pengajaran kepada pemain lain kerana mereka adalah idola kepada rakyat Malaysia. Kita mahu pastikan keharmonian dalam pasukan kita.
“Kita juga mahu atlet kita selain daripada berjaya, mereka juga dapat tunjuk imej baik kepada masyarakat,” katanya semalam.
Sebelum ini, gambar Safee sedang merokok di tempat umum di Singapura tersebar di laman sosial sehingga mencetus reaksi negatif dalam kalangan peminat.
Sementara itu jurulatih Harimau Malaya, Dollah Salleh berkata, fokus Safee tidak terganggu ekoran insiden itu, sebaliknya lebih bersemangat untuk membuktikan kemampuan.
“Dia (Safee) cakap, dia tiada niat untuk mencalarkan imej pasukan. Tetapi disebabkan itu, dia berjanji akan buat lebih baik ketika berdepan Singapura.
“Dan betullah, dia telah buktikan dengan menunjukkan prestasi yang dah lama saya tunggu,” kata Dollah.
Dollah turut menagih magis Norshahrul Idlan Talaha dan percaya penyerang yang mesra dengan panggilan Mat Yo itu mampu bangkit dalam separuh akhir.
“Hari itu saya ada bincang dengan dia (Mat Yo). Dia kata ‘saya belum buat jaringan, tapi saya selalu membuat jaringan pada hari yang penting (separuh akhir)’.
“Bagi saya, bukan gol yang penting untuk menunjukkan prestasi, tetapi membawa kemenangan,” katanya.
Dapatkan jersi bola murah di Stylo Shop